Berita Berita
Kes cederakan banduan Penjara Taiping: 5 warden termasuk berpangkat pegawai mengaku tidak bersalah
TAIPING 3 Julai – Lima warden Penjara Taiping termasuk yang berpangkat inspektor dan sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang dilaporkan sebagai rusuhan di penjara berkenaan pada Januari tahun lalu.
Pengakuan tersebut direkodkan secara berasingan di hadapan Majistret R. Prabakaran dan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Di hadapan Majistret R. Prabakaran, tertuduh Mohd Hairie Jumri, 40, dan Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44, didakwa dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan cota terhadap seorang banduan, P. Jason Immanuel, 25. Perbuatan itu dilakukan di Dewan B, Penjara Taiping antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 17 Januari 2025.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Pada prosiding dan dewan mahkamah yang sama, seorang lagi tertuduh Ahmad Rizal Razali, 37, yang kini bertugas di Pusat Koreksional Kamunting, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V. Naveen Kumar, 32, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. Bapa kepada tiga anak itu dibenarkan diikat jamin RM3,000 oleh mahkamah. Kes kendalian Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Fazial dan peguam Aqmarul Aqil Ismail ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 September depan.
Sementara itu di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar, dua lagi warden iaitu Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan terhadap G. Yugarajan, 30, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama pada masa, tarikh dan tempat yang serupa.
Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazura Azman itu membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan peguam bela, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dan Aqmarul Aqil yang memaklumkan anak guam mereka memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan termasuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Suasana di perkarangan mahkamah hari ini turut menyaksikan sekumpulan rakan setugas tertuduh hadir memberikan sokongan moral dan bertindak membentuk kepungan fizikal bagi menghalang pihak media daripada merakam gambar wajah kesemua tertuduh.
Insiden kekerasan ini mula mendapat perhatian umum selepas Suhakam mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang oleh kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan blok, yang mana insiden tersebut turut meragut nyawa seorang tahanan, Gan Chin Eng. Berikutan kes kematian itu, seorang warden penjara telah pun dituduh di mahkamah sama pada 19 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Berita berkaitan
July 3, 2026, 4:52 pm
DBKL keluar notis, kompaun JMB 'Bund Shanghai' gagal patuhi arahan
July 3, 2026, 4:13 pm
Lelaki maut tersepit, Alza bertembung Alphard di Bera
July 3, 2026, 4:04 pm
TEKUN bantu dua beradik hilang kaki bina hidup semula berniaga cendol
July 3, 2026, 4:02 pm
Isu JS-SEZ: Anwar sifatkan Onn Hafiz 'tak cerdik' guna projek pusat sebagai modal kempen
July 3, 2026, 3:53 pm
Isu lantikan di NFCC: Kuasa batal keanggotaan Azam Baki tertakluk pada Agong – PM
July 3, 2026, 2:43 pm
Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM10 juta perkasa industri teksi – Anwar
July 3, 2026, 2:18 pm
'Saya dilantik Agong sebagai penasihat NFCC, bukan kerana jawatan di SPRM' - Azam Baki
July 3, 2026, 11:56 am
