Berita Berita
Hospital baharu akan dibina di Bandar Enstek tampung keperluan penduduk Seremban - Dr Dzulkefly
KUALA LUMPUR 3 Julai – Sebuah hospital baharu akan dibina di Bandar Enstek, Nilai bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Seremban, selain mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembinaan hospital di koridor utara Seremban itu dilihat bertepatan dengan perkembangan pesat kawasan berkenaan yang menyaksikan pertambahan populasi penduduk secara mendadak.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula hala tuju pembinaan Hospital Tuanku Ja'afar 2 (HTJ2) di Rasah serta hasil perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 16 Jun lalu.
“Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti dua bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkeluasan 50 ekar (20 hektar), di kawasan tersebut.
“Oleh itu, KKM akan mengadakan lawatan di kedua-dua tapak tersebut dalam masa terdekat, bagi mengenal pasti tapak yang paling sesuai untuk dibina hospital baharu sebelum permohonan tukar guna tanah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG),” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, sekiranya permohonan tukar guna tanah diluluskan, kerja-kerja awalan projek akan dimulakan segera termasuk kerja ukur tanah, siasatan tanah, penyediaan reka bentuk konsep, anggaran kos projek serta pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai (VA).
Dzulkefly berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan turut bersetuju supaya permohonan pemberi milikan tanah Rizab Persekutuan di Lot 2406 dan Lot 1890, Bandar Seremban seluas 36.748 ekar diteruskan bagi pembangunan fasiliti kesihatan pada masa hadapan, termasuk blok tambahan HTJ dan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan (COE).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan melalui TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia terus melaksanakan Returning Expert Program (REP) bagi menarik pulang rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara, termasuk dalam sektor perubatan dan kesihatan.
“Program REP melibatkan pemberian insentif khas seperti pengecualian cukai pendapatan dan duti eksais untuk pembelian kenderaan buatan tempatan.
“Antara permohonan tertinggi untuk program REP sektor kesihatan adalah daripada negara United Kingdom, Singapura dan Australia, manakala kategori profesion tertinggi yang memohon REP ialah pakar perubatan dan doktor perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh termasuk semakan struktur gaji, usaha menarik pulang tenaga kesihatan Malaysia di luar negara serta pengambilan doktor dan jururawat asing.
Mengenai pengambilan tenaga kesihatan asing, Dzulkefly berkata, doktor dan jururawat bukan warganegara sememangnya dibenarkan berkhidmat di Malaysia tertakluk kepada syarat ketat yang dikawal selia oleh Majlis Perubatan Malaysia dan Lembaga Jururawat Malaysia bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan terus terpelihara.
Beliau berkata, ketika ini KKM melantik pakar perubatan bukan warganegara bagi memenuhi keperluan dalam bidang kritikal dan penempatan tertentu, selain menerima pegawai perubatan siswazah bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia atau berstatus pemastautin tetap untuk menjalani latihan siswazah di kementerian itu.
“Bagi pengambilan jururawat asing untuk berkhidmat di KKM, perkara tersebut masih dalam penelitian dari aspek kebolehlaksanaan dengan agensi atau kementerian yang berkaitan,” katanya.
Berita berkaitan
July 3, 2026, 4:52 pm
DBKL keluar notis, kompaun JMB 'Bund Shanghai' gagal patuhi arahan
July 3, 2026, 4:13 pm
Lelaki maut tersepit, Alza bertembung Alphard di Bera
July 3, 2026, 4:04 pm
TEKUN bantu dua beradik hilang kaki bina hidup semula berniaga cendol
July 3, 2026, 4:02 pm
Isu JS-SEZ: Anwar sifatkan Onn Hafiz 'tak cerdik' guna projek pusat sebagai modal kempen
July 3, 2026, 3:53 pm
Isu lantikan di NFCC: Kuasa batal keanggotaan Azam Baki tertakluk pada Agong – PM
July 3, 2026, 2:43 pm
Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM10 juta perkasa industri teksi – Anwar
July 3, 2026, 2:18 pm
'Saya dilantik Agong sebagai penasihat NFCC, bukan kerana jawatan di SPRM' - Azam Baki
July 3, 2026, 11:56 am
