TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan tak abaikan mana-mana negeri, termasuk Johor – PM

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 5 JULAI — Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmennya untuk tidak meminggirkan mana-mana negeri dalam agenda pembangunan negara, termasuk Johor yang kini menjadi antara tumpuan utama pelaburan serta pertumbuhan ekonomi nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang mampu meningkatkan taraf hidup dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya golongan belia. 

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin utama dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu yang menawarkan kadar ganjaran dan gaji yang lebih tinggi.

"Nak cerita tentang pembangunan, tuan-tuan dah banyak kali dengar. Nak tahu tentang JS-SEZ, ada orang nak bahas, saya pun malas nak jawab. Tapi saya nak beritahu, kita tak pernah abaikan mana-mana negeri. Apa yang penting ialah manfaat kepada belia. Peluang pekerjaan baharu sahaja tidak mencukupi, tetapi kita mahu memastikan pekerjaan itu menawarkan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu kadar upah semasa, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengakui cabaran kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar raya seperti Johor Bahru. 

Beliau menarik perhatian mengenai situasi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang masih berdepan kekangan kewangan meskipun pasaran kerja bagi sektor berkenaan adalah sangat luas.

"Kalau graduan TVET pun 98 peratus dapat kerja dengan gaji RM2,000, macam mana nak hidup di Johor Bahru? Saya tahu gaji RM2,000 tidak mencukupi," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra PMX Bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi Peringkat Negeri Johor 2026 di Taman Melor, Tampoi semalam.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan pentadbirannya sentiasa berteraskan pembangunan yang seimbang, termasuk usaha merapatkan jurang pendapatan serta menangani tekanan kos sara hidup di kawasan bandar. 

Tegas beliau, kejayaan sesebuah negara tidak sepatutnya diukur berasaskan pembinaan projek mega semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui impak positif terhadap kesejahteraan hidup masyarakat.

"Bukan kerana pencakar langit, bukan kerana gedung besar atau jambatan panjang, tetapi bagaimana kita menjamin keselesaan hidup rakyat dan menyediakan pekerjaan yang lebih baik kepada anak muda," tambahnya lagi.

Mengakhiri ucapan, beliau mengulangi bahawa agenda pembangunan berimpak tinggi seperti JS-SEZ bukan hanya direka untuk memberi manfaat setempat kepada Johor, malah ia merupakan sebahagian daripada strategi nasional yang lebih besar bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan pendapatan rakyat di seluruh negara.

+ - reset