Berita Berita
Anwar seru pengundi Johor beri mandat pada PH selaras pentadbiran kerajaan
BATU PAHAT 5 JULAI - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para pengundi di Johor untuk memberi mandat kepada gabungan itu mentadbir negeri tersebut demi menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang didakwanya masih gagal ditangani oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Menurut Anwar, walaupun Johor pesat dengan projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, kebajikan golongan pekerja seperti penjawat awam, polis, dan tentera masih terabai terutamanya dalam isu pemilikan kediaman akibat harga rumah yang semakin melambung tinggi. Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan tanggungjawab kerajaan negeri yang perlu segera diperbaiki melalui tadbir urus yang lebih baik.
“Kerajaan Persekutuan kita jaga, kerajaan mereka (Johor) kita jaga. Projek pembangunan dah banyak di Johor, tetapi isu rakyat belum selesai. Saya tengok di Johor, pegawai kerajaan, polis dan tentera tapi rumah tiada sedangkan pembangunan naik berbilion ringgit. Rumah rakyat mahal, ini tugas kerajaan negeri tapi tak buat. Jadi, saya kena masuk campur minta kerajaan negeri bersama PH, kita boleh bangunkan rumah rakyat. Kita kena ada tadbir urus yang baik supaya Johor bertukar jadi lebih baik demi kepentingan rakyat. Anda dapat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA (Sumbangan Asas Rahmah) tapi kena beratur tak?”
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Ramah Mesra Bersama PMX DUN Senggarang di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh tiga calon PH iaitu Felicia Poh (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang), dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Dalam ucapan sama, Anwar menjelaskan bahawa beliau memerlukan sokongan padu daripada rakyat Johor untuk melakukan perubahan menyeluruh, memandangkan usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan memerlukan penyelarasan yang selari antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Beliau turut membangkitkan komitmennya dalam memerangi rasuah demi memastikan kekayaan negeri Johor dapat dinikmati secara adil oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Saya tak boleh (ubah). Saya boleh kerja kuat, boleh tolong rakyat, boleh henti orang curi duit, sekarang yang curi pun diangkat. Ada saya ambil tanah? Ambil projek? Tidak. Kita mahu jaga Johor kerana negeri ini bukan miskin, Johor negeri kaya tapi rakyat ramai miskin. Kita selesaikan masalah rakyat, lebuh raya kita selesai, tapi soal rakyat rumah dia makan minum bantuan patut kita perlu bantu. Sebab itu kata negeri ini kena sama dengan Persekutuan, PH mesti diberi peluang untuk mentadbir, kita bawa perubahan. Saya datang berkempen kerana saya percaya negeri ini boleh jadi lebih baik. Johor kadang-kadang saya bukan saja rumah ibadat, masjid surau pun ada yang masalah. Jalan pula tanggungjawab negeri, yang tanggungjawab persekutuan kita dah buat berpuluh-puluh bilion,”
Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri mengingatkan para pengundi tentang kepentingan memilih barisan kepimpinan yang bijak serta berani, yang bukan sahaja mampu menjamin keselamatan negara malah mempunyai sifat kasih sayang terhadap semua kaum di Malaysia.
Berita berkaitan
July 5, 2026, 4:47 pm
Kes cabul pelajar, 4 individu dipanggil polis beri keterangan
July 5, 2026, 4:36 pm
BN taruh Harapan pada Onn Hafiz, sasar sokongan 52 peratus pengundi muda Johor
July 5, 2026, 1:38 pm
Warga Bangladesh ditahan lepas dakwa miliki 2 pasport
July 5, 2026, 10:34 am
Dari 162 calon, MRSM pilih 16 warden wanita
July 5, 2026, 10:31 am
Kerajaan tak abaikan mana-mana negeri, termasuk Johor – PM
July 4, 2026, 6:40 pm
Hubungan BN-PH kekal profesional walau bertembung di Johor – Ahmad Zahid
July 4, 2026, 6:33 pm
PRN Johor lebih awal bukan jaminan menang besar – Anwar
July 4, 2026, 6:25 pm
Positif dadah 2 pemandu ditahan di Plaza Tol Gombak
July 4, 2026, 6:18 pm
