Berita Berita
Warga Bangladesh ditahan lepas dakwa miliki 2 pasport
KUALA LUMPUR 5 JULAI - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kontena di sekitar Jalan Kuantan Bandar Damansara, Pahang, semalam, selepas tular dakwaan di media sosial mengenai pemilikan dua pasport termasuk Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan pantas itu diambil susulan hantaran tular yang memaparkan lelaki berkenaan memegang dua pasport, yang didakwa melibatkan PMA dan pasport negara asalnya. Rentetan itu, JIM dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang segera menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengesan individu terbabit serta menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.
Hasil risikan yang dijalankan membawa kepada serbuan di lokasi kejadian pada jam 6.30 petang semalam, di mana pihak berkuasa menemui lelaki warga Bangladesh tersebut di dalam kontena berkenaan. Pemeriksaan lanjut di premis itu kemudiannya menjumpai dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022, selain senaskhah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan.
“Individu terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat JIM Kuantan bagi membantu siasatan. Pihak JIM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut. Selain itu, JIM menyiasat kebarangkalian wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa JIM memandang serius setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Berita berkaitan
July 5, 2026, 4:47 pm
Kes cabul pelajar, 4 individu dipanggil polis beri keterangan
July 5, 2026, 4:36 pm
BN taruh Harapan pada Onn Hafiz, sasar sokongan 52 peratus pengundi muda Johor
July 5, 2026, 2:00 pm
Anwar seru pengundi Johor beri mandat pada PH selaras pentadbiran kerajaan
July 5, 2026, 10:34 am
Dari 162 calon, MRSM pilih 16 warden wanita
July 5, 2026, 10:31 am
Kerajaan tak abaikan mana-mana negeri, termasuk Johor – PM
July 4, 2026, 6:40 pm
Hubungan BN-PH kekal profesional walau bertembung di Johor – Ahmad Zahid
July 4, 2026, 6:33 pm
PRN Johor lebih awal bukan jaminan menang besar – Anwar
July 4, 2026, 6:25 pm
Positif dadah 2 pemandu ditahan di Plaza Tol Gombak
July 4, 2026, 6:18 pm
