TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BN taruh Harapan pada Onn Hafiz, sasar sokongan 52 peratus pengundi muda Johor

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTER 5 JULAI - Barisan Nasional (BN) sekali lagi mengangkat tokoh muda, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk terus menerajui pentadbiran Johor dengan mengharapkan sokongan golongan muda di negeri ini terhadap kepimpinan beliau.

Langkah itu diambil memandangkan pengundi berusia 18 tahun ke atas termasuk mereka yang berusia bawah 40 tahun serta pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, kini mewakili kira-kira 52 peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri berkenaan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan bahawa kelompok pengundi muda berkenaan mempunyai peranan yang sangat besar dalam menentukan masa depan pentadbiran negeri.

“Undi18 di Johor terdapat lebih kurang 52 peratus ini termasuk pengundi-pengundi di bawah 40 tahun dan pengundi pertama kali selain pengundi berusia 18 tahun. Jadi, saya harap mereka ini bersama-sama dengan Onn Hafiz untuk membangunkan Johor. Kita yakin mereka sangat dekat dengan Onn Hafiz dan kita memunculkan sekali lagi Onn Hafiz sebagai tokoh muda. Insya-Allah atas perkenan istana akan memberi kesinambungan sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Jelajah TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor Darul Ta’zim di Educity Sports Complex, di sini, hari ini. Majlis berkenaan turut dihadiri sama oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Terdahulu, ketika berucap pada program berkenaan, Ahmad Zahid sempat menggesa golongan muda di Johor untuk terus memilih bekerja dan membina kerjaya di negeri sendiri memandangkan Johor mempunyai potensi yang sangat besar untuk membangun dengan lebih pesat berbanding negeri-negeri lain.

+ - reset