Berita Berita
Kes tikam pelajar: Mangsa ditikam belasan kali di belakang badan dan bahu, suspek sudah beberapa bulan tidak ke sekolah
KUALA LANGAT 6 Julai - Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Banting cedera selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh seorang pelajar lain dalam kejadian di kawasan sekolah, hari ini.
Menurut sumber, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Suspek yang juga berusia 15 tahun dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Difahamkan, sebelum kejadian suspek yang memakai baju-T hitam dan seluar kotak berwarna merah memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama.
Bagaimanapun, kronologi penuh kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
Selepas insiden itu, suspek dilaporkan ditenangkan oleh beberapa guru di kawasan berhampiran surau sekolah sementara pihak pengurusan sekolah menghubungi polis.
Suspek kemudian ditahan dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Setakat ini, motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman berasingan turut menunjukkan beberapa pelajar bertempiaran lari dipercayai bagi menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.
Bagaimanapun, dakwaan yang tular di media sosial kononnya suspek merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah dan bertindak kerana mahu membalas dendam belum disahkan pihak berkuasa.
Berita berkaitan
July 6, 2026, 7:18 pm
Lebih 72,000 peserta FELCRA terima agihan keuntungan interim RM126.9 juta - Zahid Hamidi
July 6, 2026, 5:15 pm
Anwar bawa 'vibe' positif, Ramanan yakin PH mampu menang PRN Johor
July 6, 2026, 4:00 pm
Suspek tikam pelajar di Banting disiasat bawah Seksyen 307 cubaan bunuh
July 6, 2026, 3:43 pm
Kes tikam pelajar: KPM fokus kebajikan mangsa, Fadhlina rayu henti sebar spekulasi
July 6, 2026, 1:42 pm
