TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek tikam pelajar di Banting disiasat bawah Seksyen 307 cubaan bunuh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Kes tikaman membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat pagi tadi disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta punca kejadian.

Beliau berkata, suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang lagi pelajar perempuan lain.

“Pada masa ini siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan pada jam 9.50 pagi yang memaklumkan insiden seorang pelajar perempuan cedera dalam kawasan sekolah berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

+ - reset