TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semua bakal dapat tempat, KKM sasar semua pegawai perubatan siswazah isi jawatan tetap menjelang 2028

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 6 Julai - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua pegawai perubatan siswazah ditawarkan jawatan tetap sebaik sahaja menamatkan latihan siswazah menjelang 2028 sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu dilaksanakan menerusi agenda reformasi berterusan Pasukan Petugas Bersama Antara Kementerian (IMJTF) bagi menangani isu sumber manusia yang berlarutan sejak sekian lama.

"Menjelang 2028, KKM menyasarkan untuk menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menyelesaikan latihan. Inilah pendekatan whole-of-government yang sebenar.

"IMJTF kini mula menampakkan hasil dalam menangani isu sumber manusia yang telah berlarutan sejak sekian lama menerusi agenda reformasi yang sedang dilaksanakan. Kami mendengar kebimbangan anda dan sedang giat merapatkan jurang yang wujud.

"Tahun ini sahaja, 4,500 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap, selain 800 jawatan baharu yang diluluskan setiap tahun," katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan tiada pembekuan pengambilan kakitangan dilaksanakan walaupun berlaku penyelarasan semula peruntukan perbelanjaan operasi kementerian.

"Kita berada di landasan untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan merentasi semua skim perkhidmatan kementerian sepanjang tahun 2026.

"Kita berusaha keras menangani masalah keletihan melampau atau burnout dengan menambah baik persekitaran kerja, namun menggantikan pakar perubatan masih menjadi cabaran yang kompleks dan memerlukan penyelesaian jangka panjang," katanya.

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang baharu, Datuk Dr Mohd Azman Yacob supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem latihan pakar perubatan tempatan.

"Sama ada ia melalui program sarjana tempatan ataupun parallel pathway, kita perlu memastikan wujudnya ekosistem latihan yang mampan dan bertaraf dunia untuk penjagaan kesihatan profesional kita.

"Kita sedang memperbaiki sistem ini untuk memastikan ia benar-benar mengangkat martabat, khususnya para doktor muda kita," katanya.

+ - reset