Berita Berita
Lebih 72,000 peserta FELCRA terima agihan keuntungan interim RM126.9 juta - Zahid Hamidi
MARAN 6 Julai - Lebih 72,000 peserta FELCRA Berhad di seluruh negara bakal menerima Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.9 juta yang akan disalurkan secara berperingkat mulai bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan itu melibatkan 747 projek yang mencatatkan keuntungan dan dijangka memberi manfaat kepada puluhan ribu peserta FELCRA.
“Agihan ini akan disalurkan secara berperingkat kepada lebih 72,000 peserta di seluruh Malaysia, melibatkan 747 buah projek yang mencatatkan keuntungan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, jumlah agihan interim pertama tahun ini meningkat 7.6 peratus kepada RM126.9 juta berbanding RM117 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan itu diharap dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta, terutama dalam menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
"Pihak FELCRA berharap agihan keuntungan ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta. Ramai anak peserta kini dapat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, jadi dengan adanya keuntungan ini bolehlah mereka gunakan untuk tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Menurut Mohamed Ismi, peningkatan hasil pengeluaran serta pengurangan kos operasi menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan agihan keuntungan tahun ini.
Beliau berkata, walaupun purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh Januari hingga April tahun ini menurun kepada RM4,367 satu tan berbanding RM4,600 satu tan bagi tempoh sama tahun lalu, keuntungan FELCRA tetap meningkat.
"Walaupun harga MSM menurun, keuntungan masih meningkat berikutan kos operasi berjaya dikurangkan sebanyak 12 peratus. Selain itu, jumlah projek yang menerima agihan keuntungan turut meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek pada tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, Agihan Interim 1 meliputi keuntungan bagi tempoh Januari hingga April dan pembayaran akan dibuat mulai bulan ini, manakala Agihan Interim 2 bagi tempoh Mei hingga Ogos dijadualkan dibayar pada November selepas proses penutupan akaun pada September.
Berita berkaitan
July 6, 2026, 5:15 pm
Anwar bawa 'vibe' positif, Ramanan yakin PH mampu menang PRN Johor
July 6, 2026, 4:00 pm
Suspek tikam pelajar di Banting disiasat bawah Seksyen 307 cubaan bunuh
July 6, 2026, 3:43 pm
Kes tikam pelajar: KPM fokus kebajikan mangsa, Fadhlina rayu henti sebar spekulasi
July 6, 2026, 1:42 pm
