TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes tikam pelajar: KPM fokus kebajikan mangsa, Fadhlina rayu henti sebar spekulasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT 6 Julai - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan kebajikan mangsa dan warga sekolah menjadi keutamaan susulan insiden tikaman di sebuah sekolah di Banting, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan suspek berjaya ditahan dan keadaan kini terkawal.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan perubatan terbaik, selain menyediakan sistem sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.

"Saya berada di tempat kejadian sebentar tadi. PDRM telah mengambil semua langkah-langkah keselamatan mengawal keadaan termasuk menangkap suspek," katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Terdahulu, Fadhlina bersama pegawai Kementerian Pendidikan serta polis turun ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan mendapatkan perkembangan terkini.

Beliau turut mendoakan agar pengetua, guru dan pelajar diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian tersebut.

"Saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh PDRM.

"Terima kasih di atas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat.

"Insya-Allah jika ada perkembangan berkaitan kes ini (yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa) akan saya kongsikan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“... keadaan mangsa stabil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan pelajar yang cedera sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan polis.

Menurut JPN Selangor, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada PDRM bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

"Tumpuan utama ketika ini memastikan murid tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberikan kepada keluarga.

"Pasukan kaunselor digerakkan untuk memberikan sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial turut memaparkan seorang wanita berpakaian serba hitam memegang sebilah pisau di kawasan sekolah, namun motif kejadian masih dalam siasatan polis.

+ - reset