TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Lelaki selamba rembat beg jemaah sedang solat zuhur di Kuantan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID 

KUANTAN 8 Julai – Seorang jemaah berdepan detik malang apabila beg miliknya yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi penting dilarikan seorang pencuri dalam satu kejadian di Masjid Tepian Putra, Kuantan.

Kejadian yang berlaku semalam kira-kira jam 1.34 petang itu tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik bagi mengesan suspek. 

Menurut mangsa, suspek mengambil kesempatan melarikan beg tersebut ketika situasi jemaah lain sedang khusyuk menunaikan solat Zuhur secara berjemaah di ruang solat utama masjid berkenaan.

Tindakan kecuaian mangsa yang meninggalkan beg tanpa pengawasan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Pengguna media sosial, bondiccd15 mempersoalkan keputusan mangsa meletakkan barangan berharga sedemikian rupa tanpa ada individu lain yang memantaunya. 

"Yang saya hairan kenapa letak beg macan tu tanpa ada orang jaga, ini Malaysia bang memang kita kena hati-hati dengan barangan kita ada ruang dan peluang pencuri memang ambik kesempatan," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, yatt68_ menyatakan bahawa beliau akan menegur anaknya sekiranya situasi sama berlaku kerana tindakan membiarkan barang tanpa pengawasan adalah satu perbuatan yang sengaja mengundang bahaya.

"Kalau kena kat anak saya, saya ketuk anak saya dulu. Macam mana boleh tinggalkan barang tanpa pengawasan manusia kat beg? Ini memang mengundang," komennya.

Dalam pada itu, netizen mozakizdihar melahirkan rasa geram terhadap kelakuan bersahaja suspek yang berpura-pura berkelakuan baik sejurus selepas melakukan jenayah tersebut di dalam masjid.

"Selamba jer. Macam beg dia dibuatnya. Konon baik siap bukakan pintu. Padahal baru lepas mencuri," tulisnya.

Ekoran insiden itu, mangsa memohon bantuan orang ramai, khususnya warga Kuantan yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu di dalam rakaman CCTV tersebut, untuk segera tampil membantu. 

Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga barangan berharga masing-masing bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang kembali.

+ - reset