TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Projek RM45 juta naik taraf Krematorium DBKL Cheras, tambah mesin kremator kurangkan tempoh menunggu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal melaksanakan projek menaik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras membabitkan peruntukan bernilai RM45 juta bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan tempoh menunggu waris untuk urusan penghormatan terakhir.

Projek berimpak tinggi itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026. Menerusi pelaksanaan ini, kapasiti operasi harian kompleks berkenaan dijangka meningkat daripada 18 kepada 27 pembakaran mayat hasil penambahan mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan, Kompleks Krematorium DBKL yang telah beroperasi sejak tahun 1977 merupakan antara kemudahan krematorium awam terbesar di Malaysia, dengan rekod purata sebanyak 5,844 operasi kremasi setiap tahun.

Beliau berkata, projek yang kini berada di fasa pra-pelaksanaan itu dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2029. Ia turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf ruang menunggu serta penyediaan kemudahan sokongan lain yang lebih moden, selesa, dan mesra pengguna.

“Sepanjang tempoh pembinaan dijalankan, DBKL akan menyediakan empat unit mesin kremator sementara bagi memastikan operasi perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud menegaskan, penambahbaikan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen DBKL untuk memastikan setiap kemudahan awam di ibu negara memenuhi standard perkhidmatan yang boleh diharapkan oleh rakyat.

“Keperluan rakyat sentiasa berubah. Sebab itu standard perkhidmatan DBKL juga mesti terus dipertingkatkan supaya setiap kemudahan awam mampu berfungsi dengan cekap dan memenuhi keperluan sebuah ibu negara.

“Bagi DBKL, ukuran kejayaan bukan jumlah projek yang disiapkan tetapi kualiti perkhidmatan yang dirasai rakyat. Itulah standard prestasi yang kami pegang dalam setiap penambahbaikan yang dilaksanakan,” jelas beliau.

Tambahnya, projek ini juga merupakan sebahagian daripada pelan berterusan DBKL dalam memperkukuh standard penyampaian perkhidmatan awam melalui transformasi kemudahan, sistem, dan proses kerja agar bandar raya Kuala Lumpur kekal efisien dan diyakini.

+ - reset