TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

78 etnik Rohingya dilulus status pelarian, 25 dikenal pasti layak bekerja - Saifuddin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Julai – Seramai 78 tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor, Perak, diluluskan status pelarian di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) setakat Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu membabitkan 77 lelaki dan seorang wanita dewasa daripada 128 etnik Rohingya yang dipindahkan ke pusat pengasingan khas berkenaan.

Menurut beliau, proses pembebasan mereka akan dilaksanakan selepas semua urusan berkaitan diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan.

"Sebagai projek rintis, Program Pekerjaan DPP turut dilaksanakan membabitkan 78 individu diluluskan status pelarian itu dengan 25 individu dikenal pasti layak untuk diambil bekerja," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan Program DPP serta jumlah pelarian yang mendapat kebenaran bekerja di negara ini.

Saifuddin berkata, Fasa 1 Program DPP memberi tumpuan kepada tahanan majoriti warga Myanmar etnik Rohingya di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, seramai 4,010 tahanan dikenal pasti bagi fasa berkenaan, membabitkan 4,008 warganegara Myanmar serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria.

Jumlah itu terdiri daripada 2,746 lelaki dewasa, 632 wanita dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan.

"Kumpulan ini akan dipindahkan secara berfasa ke PPKPPS, Bidor Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Fasa 2 Program DPP yang melibatkan individu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mereka yang mengaku sebagai pelarian di luar DTI dirancang bermula pada separuh kedua 2026.

Menurutnya, proses pendaftaran berkenaan akan dilaksanakan di pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kemudian, dengan sasaran diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029.

Beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran Program DPP dikendalikan unit khas iaitu Task Force Pendaftaran Pelarian (TPP) di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Pada masa ini proses pendaftaran dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak JIM dan tidak membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

+ - reset