TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

33 individu termasuk pegawai penguat kuasa direman dipercayai terima rasuah benarkan warga asing tinggal tanpa dokumen

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 9 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket rasuah serta pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan termasuk membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan.

Tindakan itu susulan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka.

Di Putrajaya, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai terhadap enam suspek bagi membantu siasatan.

Di Shah Alam, Mahkamah Majistret membenarkan 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai.

Sementara itu, di Seremban, lima suspek direman selama empat hari, dua lagi direman lima hari, manakala dua individu lain direman sehari.

Di Melaka pula, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan permohonan reman.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM terbabit.

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen antara tahun 2021 hingga 2026," katanya.

Difahamkan, 10 pegawai penguat kuasa yang ditahan disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, selain mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Siasatan turut mendapati terdapat kes membabitkan pengemukaan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tujuan permohonan serta mendapatkan kuota pekerja asing.

Menurut sumber, risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu menyasarkan seramai 43 individu di empat negeri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan warga asing.

"Dalam operasi sama, seramai 38 individu telah ditahan, namun lima daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas siasatan awal dijalankan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), Seksyen 17(a), Seksyen 17(b) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dilakukan bagi melengkapkan siasatan.

+ - reset