Berita Berita
Rakyat Myanmar perlu diberi ruang tentukan masa depan mereka - Anwar
PUTRAJAYA 9 Julai – Malaysia berpandangan pendekatan penglibatan berkesan serta memberi ruang kepada rakyat Myanmar menentukan masa depan sendiri merupakan langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis berpanjangan di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu selari dengan pandangan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berhubung isu Myanmar yang turut menekankan kepentingan pendekatan diplomasi.
"Saya amat gembira mendengar pandangan Perdana Menteri Thailand mengenai Myanmar kerana Malaysia berpendapat cara terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama ini adalah melalui penglibatan yang berkesan dan membenarkan rakyat Myanmar membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.
"Thailand sebagai sahabat dan jiran penting boleh memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia turut menghargai inisiatif Menteri Luar Thailand yang menjemput semua Menteri Luar ASEAN bagi mengadakan perbincangan lanjut berkaitan krisis Myanmar, termasuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak serta Menteri Luar Myanmar yang baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia menghargai komitmen Thailand dalam memastikan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara terus dipelihara.
"Kita akan terus mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan bagi memastikan tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan.
"Kita percaya kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua negara untuk memastikan ASEAN terus kekal sebagai sebuah rantau yang aman, stabil dan dinamik," katanya.
Sementara itu, Anutin berkata Thailand menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam proses dialog damai di selatan Thailand.
Beliau turut menghargai komitmen Malaysia untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan serta bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, kedua-dua negara juga akan memperkukuh kerjasama keselamatan termasuk membanteras jenayah rentas sempadan menerusi penubuhan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras langkah keselamatan di sepanjang Sungai Golok.
Selain itu, kerjasama pemantauan paras air dan usaha mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Golok turut diperkukuhkan.
Dari aspek ekonomi, Anutin berkata Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN dengan nilai perdagangan dua hala mencecah kira-kira AS$28 bilion.
Beliau yakin sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion dapat dicapai tidak lama lagi menerusi kerjasama yang semakin erat antara kedua-dua negara.
Berita berkaitan
July 9, 2026, 9:27 pm
Rugi puluhan juta ringgit, SPRM kesan kelemahan tadbir urus dalam PERKESO
July 9, 2026, 8:02 pm
Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia ketika orientasi di Melaka
July 9, 2026, 5:38 pm
78 etnik Rohingya dilulus status pelarian, 25 dikenal pasti layak bekerja - Saifuddin
July 9, 2026, 2:41 pm
'Tak pernah tutup' - SPRM sahkan siasatan terhadap Jho Low masih berjalan
July 9, 2026, 2:22 pm
