TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rugi puluhan juta ringgit, SPRM kesan kelemahan tadbir urus dalam PERKESO

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 9 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh tadbir urus susulan kelemahan sistem yang dikesan sehingga membuka ruang kepada penyelewengan dana awam bernilai puluhan juta ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, penempatan pegawai di bawah program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) itu dibuat selepas PERKESO sendiri memohon bantuan susulan siasatan berhubung tuntutan palsu di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.

"Setakat ini tidak ada (pegawai integriti), tetapi selepas ini PERKESO ada minta (selepas kes ini berbangkit) untuk ditempatkan seorang pegawai integriti dan saya akan hantar seorang dengan segera," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai kelemahan membabitkan tatakelola dan prosedur kerja di PERKESO perlu diperbetulkan bagi mengelakkan penyelewengan berulang pada masa hadapan.

Menurutnya, SPRM juga akan menghantar Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Tatakelola ke PERKESO bagi membantu memperkukuh sistem, prosedur serta mekanisme kawalan dalaman.

"SPRM bukannya PERKESO, tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah memberi khidmat nasihat sekiranya mereka tidak mempunyai tatakelola, tidak mempunyai prosedur, tiada atur cara dan sebagainya.

"Maka SPRM akan hantar bahagian tatakelola ke PERKESO bagi membantu mereka menyediakan perkara berkaitan tatakelola," katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata, SPRM akan mengesyorkan pertuduhan terhadap 69 daripada 81 kertas siasatan yang dibuka berhubung dakwaan penyalahgunaan Program Daya Kerjaya 2.0 selewat-lewatnya pada minggu pertama bulan depan.

Beliau berkata, siasatan menerusi Op Daya mendapati terdapat asas kukuh untuk mendakwa individu, syarikat dan ejen yang dipercayai terbabit dalam skim tuntutan palsu itu.

"Namun dalam kes ini, fokus SPRM bukan saja mendakwa pihak bertanggungjawab, malah memastikan kelemahan dalam PERKESO yang membolehkan penipuan itu ditangani bagi mengelak penyalahgunaan pada masa depan," katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati sepanjang tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 143 syarikat dipercayai mengemukakan permohonan palsu bagi mendapatkan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 membabitkan tuntutan kira-kira RM9 juta untuk 320 pekerja.

Sehingga kini, SPRM telah membuka 81 kertas siasatan di seluruh negara, dengan 69 daripadanya disyorkan untuk pendakwaan.

Selain itu, enam kertas siasatan dirujuk kepada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Tatakelola bagi meneliti kelemahan sistem serta prosedur kerja, khususnya berkaitan proses bayaran balik, manakala lima kes disyorkan tiada tindakan lanjut dan satu lagi masih dalam siasatan bagi mengesan sasaran utama.

Bulan lalu, SPRM mendedahkan sebanyak 1,638 syarikat disyaki mengemukakan tuntutan palsu di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 dengan anggaran kerugian mencecah RM45 juta.

Operasi penguatkuasaan menerusi Op Daya yang bermula pada 9 Jun lalu turut membawa kepada 97 tangkapan di seluruh negara.

+ - reset