Berita Berita
Program DPP: 78 tahanan Rohingya di Bidor lulus status pelarian, 25 layak mula bekerja
KUALA LUMPUR 9 Julai – Seramai 78 tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor, Perak telah diluluskan status pelarian di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) setakat Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tersebut membabitkan 77 lelaki dan seorang wanita dewasa daripada keseluruhan 128 individu etnik berkenaan yang dipindahkan ke pusat pengasingan khas tersebut.
"Proses pembebasan mereka akan dilaksanakan sebaik semua urusan berkaitan diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Sebagai projek rintis, Program Pekerjaan DPP turut dilaksanakan membabitkan 78 individu diluluskan status pelarian itu dengan 25 individu telah pun dikenal pasti layak untuk diambil bekerja," katanya menerusi jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan status terkini pelaksanaan program DPP serta jumlah pelarian yang sudah mendapat kebenaran untuk bekerja di negara ini.
Mengulas mengenai perincian program, Saifuddin menjelaskan Fasa 1 Program DPP memberi tumpuan khusus kepada tahanan majoriti warganegara Myanmar etnik Rohingya yang berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung Malaysia.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan tahanan yang telah didatakan adalah seramai 4,010 orang. Angka itu merangkumi 4,008 warganegara Myanmar, serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria. Pecahan data melibatkan 2,746 lelaki dewasa, 632 perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki, dan 240 kanak-kanak perempuan.
"Kumpulan ini akan dipindahkan secara berfasa ke PPKPPS Bidor, Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP)," jelas beliau.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan bahawa Fasa 2 Program DPP pula akan membabitkan pendaftaran individu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mereka yang mengaku sebagai pelarian di luar depot tahanan.
Fasa kedua ini dirancang bermula pada separuh kedua tahun 2026 dan akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang bakal diumumkan kelak. KDN menyasarkan proses pendaftaran menyeluruh ini diselesaikan sepenuhnya menjelang 31 Disember 2029.
Tambah beliau, segala urusan pendaftaran Program DPP ini dikendalikan sepenuhnya oleh unit khas iaitu Task Force Pendaftaran Pelarian (TPP) di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tanpa melibatkan sebarang pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berita berkaitan
July 9, 2026, 9:27 pm
Rugi puluhan juta ringgit, SPRM kesan kelemahan tadbir urus dalam PERKESO
July 9, 2026, 8:02 pm
Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia ketika orientasi di Melaka
July 9, 2026, 5:38 pm
78 etnik Rohingya dilulus status pelarian, 25 dikenal pasti layak bekerja - Saifuddin
July 9, 2026, 5:00 pm
Rakyat Myanmar perlu diberi ruang tentukan masa depan mereka - Anwar
July 9, 2026, 2:41 pm
