Berita Berita
Wanita 70 tahun rugi RM183,100 terpedaya sindiket ‘love scam’ menyamar doktor, tokoh korporat
MUAR 9 Julai – Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun mengalami kerugian RM183,100 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan ‘love scam’ yang didalangi dua individu menyamar sebagai doktor dan tokoh korporat menerusi aplikasi Facebook Messenger.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Rais Azman Aziz berkata, mangsa mendakwa mula berkenalan dengan kedua-dua suspek secara dalam talian pada penghujung April lalu.
Menurut beliau, seorang suspek memperkenalkan diri sebagai doktor manakala seorang lagi mendakwa dirinya tokoh korporat, dengan kedua-duanya mendakwa bekerja di luar negara.
"Selepas berjaya meraih kepercayaan mangsa, suspek meminta bantuan kewangan dengan alasan memerlukan wang bagi menjelaskan yuran guaman berkaitan kontrak pembinaan dan menguruskan pelepasan cek bernilai AS$85,000 (kira-kira RM340,000) yang kononnya akan disumbangkan kepada sebuah persatuan doktor.
"Mangsa turut dijanjikan sejumlah wang selepas segala urusan itu selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, mangsa kemudiannya membuat lapan transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek menggunakan simpanan peribadinya, dengan jumlah keseluruhan RM183,100.
Bagaimanapun, selepas menerima wang berkenaan, suspek terus meminta bayaran tambahan atas pelbagai alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari dirinya dipercayai telah diperdaya.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda.
Berita berkaitan
July 9, 2026, 9:27 pm
Rugi puluhan juta ringgit, SPRM kesan kelemahan tadbir urus dalam PERKESO
July 9, 2026, 8:02 pm
Pelajar Tingkatan Enam meninggal dunia ketika orientasi di Melaka
July 9, 2026, 5:38 pm
78 etnik Rohingya dilulus status pelarian, 25 dikenal pasti layak bekerja - Saifuddin
July 9, 2026, 5:00 pm
Rakyat Myanmar perlu diberi ruang tentukan masa depan mereka - Anwar
July 9, 2026, 2:41 pm
'Tak pernah tutup' - SPRM sahkan siasatan terhadap Jho Low masih berjalan
July 9, 2026, 2:22 pm
