TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kekalahan PRN Johor ruang muhasabah buat PN - Tuan Ibrahim

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 12 Julai - Perikatan Nasional (PN) mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan medan muhasabah bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kegagalan gabungan itu mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini memperlihatkan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya melibatkan aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera serta kesatuan dalaman.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, satu proses post mortem secara menyeluruh akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan dan merangka strategi lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta pilihan raya seterusnya.

"PRN Johor sudah berakhir dan rakyat sudah membuat keputusan. PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, atas kejayaan mengekalkan pentadbiran negeri Johor.

"Walaupun PAS dan PN tidak berjaya mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini, keputusan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka serta dijadikan asas untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan," katanya ketika dihubungi.

Semalam, BN mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-16, manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kemunculan parti baharu seperti BERSAMA dan MUDA masih belum berjaya menawarkan alternatif yang benar-benar meyakinkan pengundi.

Menurutnya, pertandingan pelbagai penjuru turut menyebabkan undi pembangkang berpecah sekali gus memberi kelebihan besar kepada BN.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan perhatian kini beralih kepada pelaksanaan janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya, antara yang menjadi perhatian ialah kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya PH gagal mencapai sasaran dalam PRN Johor.

"Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji berkenaan akan ditunaikan. Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang dilafazkan.

"Jika tidak, DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti," katanya.

+ - reset