Berita Berita
BN menang besar di Johor sebab pengundi PN - Anthony Loke
JELEBU 12 Julai – Peralihan sokongan sebahagian penyokong Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, berdasarkan pola pengundian, sokongan pengundi Melayu beralih kepada BN dalam jumlah yang besar sehingga memberi kesan kepada prestasi Pakatan Harapan (PH) di beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi gabungan itu.
"Pada pilihan raya lalu di Johor, kita menang kerana ada pertembungan tiga penjuru yang mana kita menang dalam lingkungan 40 peratus pengundi.
"Tapi oleh kerana dinamika pilihan raya kali ini berlainan iaitu satu lawan satu, maka 'vote transfer' itu tidak berlaku kepada kita, tapi berlaku kepada calon BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Tahun 2026 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kampung Chennah, di sini, pada Ahad.
Menurut Anthony, keadaan itu memberi kelebihan kepada calon BN apabila berjaya meraih sokongan penyokong PN, sekali gus menyebabkan DAP gagal mempertahankan beberapa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, DAP masih berjaya mengekalkan sokongan kukuh di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dengan memperoleh lebih 50 peratus undi, khususnya di kawasan bandar.
"Di enam kawasan kita menang dengan majoriti jelas iaitu melebihi 50 peratus. Ini bermakna kita masih dapat sokongan yang baik khususnya di kawasan bandar.
"Keputusan di Johor ini sudah tentu mendukacitakan bagi pihak PH. Namun begitu, setiap hari adalah hari baharu dan kita mulakan hari ini dengan fokus kita kepada PRN Negeri Sembilan," katanya.
Menteri Pengangkutan itu berkata, keputusan PRN Johor bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan sokongan rakyat di negeri itu terhadap kerajaan BN sememangnya kuat.
Namun, katanya, PH telah berusaha sedaya upaya sepanjang kempen dan menghormati keputusan yang dibuat oleh para pengundi.
"Kita cuba sedaya mungkin dan bagi pihak DAP kita berterima kasih kepada pengundi.
"Walaupun DAP hanya dapat mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang ditandingi, namun pola sokongan kita masih kekal," katanya.
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, tumpuan kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan dengan harapan PH dapat mempertahankan pentadbiran negeri itu.
Beliau turut berpandangan kekalahan PH di Johor tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi di Negeri Sembilan kerana landskap politik kedua-dua negeri adalah berbeza.
"Sudah tentu di Negeri Sembilan dinamika politiknya berlainan yang mana PH merupakan penyandang kerajaan negeri dan Menteri Besar pula daripada gabungan itu.
"Jadi sudah tentu kita akan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kerusi kita sebab dalam pilihan raya lepas kita menang 17 kerusi manakala BN hanya menang 14 kerusi, sudah semestinya kita mempunyai kelebihan berbanding mereka," katanya.
Berita berkaitan
July 12, 2026, 7:07 pm
BN menang besar, Johor umum cuti peristiwa esok
July 12, 2026, 6:09 pm
Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor penggal kedua
July 12, 2026, 3:51 pm
PRN Johor: PAS akui BN semakin berpengaruh, mungkin PRU16 tidak diadakan dalam masa terdekat
July 12, 2026, 3:33 pm
Kor Ming kekal dengan pendirian, kenyataan letak jawatan disalah tafsir
July 12, 2026, 1:59 pm
'Kalau dah janji, Kor Ming perlu letak jawatan' - KJ
July 12, 2026, 11:34 am
PRN Johor: MIC paling cemerlang, sapu bersih 4 kerusi
July 12, 2026, 10:28 am
'Sudah tiba masanya...' - Netizen tuntut janji Kor Ming letak jawatan
July 12, 2026, 9:22 am
