Berita Berita
PRN Johor: MIC paling cemerlang, sapu bersih 4 kerusi
JOHOR BAHRU 12 Julai – MIC membuktikan pengaruhnya terus utuh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 apabila menyapu bersih kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, sekali gus muncul parti paling cemerlang dengan rekod kemenangan 100 peratus.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadikan MIC satu-satunya parti yang mencatat kemenangan sempurna pada PRN kali ini, malah mengukuhkan lagi peranannya sebagai antara tonggak utama dalam kemenangan besar Barisan Nasional (BN).
Empat kerusi yang dimenangi MIC ialah DUN Kemelah, Kahang, Perling dan Bukit Batu, sekali gus memperkukuhkan kedudukan parti itu dalam BN.
Di DUN Kemelah, Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar yang berpindah gelanggang daripada DUN Tenggaroh berjaya mempertahankan kubu kuat BN apabila menewaskan Mohd. Afif Abd. Hamid (PH) dan Uzzair Ismail (PN).
Kemenangan itu memastikan kerusi yang sebelum ini disandang N. Saraswathy terus kekal dalam genggaman BN.
Di DUN Kahang pula, calon muka baharu, V. Rugendran membuktikan kemampuannya apabila menewaskan Mohd. Sabri Abd. Kadir (PH) dan bekas pemimpin kanan Bersatu, Mazlan Bujang (PN), sekali gus mengekalkan penguasaan BN di kerusi yang sebelum ini diwakili R. Vidyananthan selama empat penggal.
Lebih membanggakan, MIC turut mencipta kejutan apabila berjaya merampas dua kerusi milik Pakatan Harapan (PH), iaitu Perling dan Bukit Batu.
Di Perling, P. Pannir Selvam mengejutkan ramai apabila menumbangkan calon DAP, Alan Tee Boon Tsong dalam saingan tiga penjuru yang turut melibatkan calon Bersama, Boo Wei Han.
Kerusi itu sebelum ini disandang Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang memenanginya pada PRN 2022 dengan majoriti 3,347 undi.
Sementara itu, Setiausaha MIC Johor, R. Kumaran turut mencipta kemenangan bermakna apabila merampas DUN Bukit Batu daripada penyandang PKR, Chiong Sen Sern.
Dalam pertandingan lima penjuru yang turut melibatkan calon PN, Muda, Bersama dan Bebas, R. Kumaran berjaya memecahkan penguasaan PH di kerusi yang dimenangi PKR dengan majoriti hanya 137 undi pada PRN 2022.
Prestasi cemerlang itu melengkapkan pencapaian MIC pada PRN Johor kali ini apabila bukan sahaja berjaya mempertahankan dua kerusi tradisinya, malah merampas dua lagi kerusi daripada PH, sekali gus melakar rekod kemenangan sempurna dan memperkukuhkan lagi kekuatan parti itu dalam landskap politik negeri.
Berita berkaitan
July 12, 2026, 7:07 pm
BN menang besar, Johor umum cuti peristiwa esok
July 12, 2026, 6:09 pm
Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor penggal kedua
July 12, 2026, 3:51 pm
PRN Johor: PAS akui BN semakin berpengaruh, mungkin PRU16 tidak diadakan dalam masa terdekat
July 12, 2026, 3:33 pm
Kor Ming kekal dengan pendirian, kenyataan letak jawatan disalah tafsir
July 12, 2026, 1:59 pm
'Kalau dah janji, Kor Ming perlu letak jawatan' - KJ
July 12, 2026, 1:36 pm
BN menang besar di Johor sebab pengundi PN - Anthony Loke
July 12, 2026, 10:28 am
'Sudah tiba masanya...' - Netizen tuntut janji Kor Ming letak jawatan
July 12, 2026, 9:22 am
