Berita Berita
Kor Ming kekal dengan pendirian, kenyataan letak jawatan disalah tafsir
KUALA LUMPUR 12 Julai – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempertahankan kenyataannya bahawa beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan, sambil menegaskan pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.
Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, terdapat pihak yang mendesak beliau meletakkan jawatan susulan kenyataan tersebut, namun menjelaskan ia perlu dilihat dalam konteks penuh wawancara eksklusifnya bersama Oriental Daily.
Menurut beliau, pendirian yang diambil selaras dengan tanggungjawabnya sebagai peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya yang sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati.
"Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri," katanya.
Beliau berkata, kenyataan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana individu secara peribadi, sebaliknya berasaskan prinsip yang dipegang sejak sekian lama.
"Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu dilaporkan berkata beliau tidak akan teragak-agak menjadi individu pertama melepaskan jawatan sebagai menteri sekiranya Najib dibebaskan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam wawancara sama, beliau turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal menerusi slogan "UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah", yang disifatkannya sebagai "garis merah" kepada parti itu.
Pada masa sama, Kor Ming mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dua pertiga majoriti dalam PRN Johor dan menegaskan keputusan demokrasi yang dibuat rakyat perlu dihormati semua pihak.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, selain merakamkan penghargaan kepada penyokong, petugas dan sukarelawan Pakatan Harapan (PH) yang telah bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya.
"Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada, Pakatan Harapan tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dilaporkan menawarkan diri untuk menyediakan surat peletakan jawatan kepada Nga Kor Ming susulan kenyataan menteri itu yang menyatakan beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Berita berkaitan
July 12, 2026, 7:07 pm
BN menang besar, Johor umum cuti peristiwa esok
July 12, 2026, 6:09 pm
Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor penggal kedua
July 12, 2026, 3:51 pm
PRN Johor: PAS akui BN semakin berpengaruh, mungkin PRU16 tidak diadakan dalam masa terdekat
July 12, 2026, 1:59 pm
'Kalau dah janji, Kor Ming perlu letak jawatan' - KJ
July 12, 2026, 1:36 pm
BN menang besar di Johor sebab pengundi PN - Anthony Loke
July 12, 2026, 11:34 am
PRN Johor: MIC paling cemerlang, sapu bersih 4 kerusi
July 12, 2026, 10:28 am
'Sudah tiba masanya...' - Netizen tuntut janji Kor Ming letak jawatan
July 12, 2026, 9:22 am
