TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BN menang besar, Johor umum cuti peristiwa esok

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Kerajaan Johor mengisytiharkan Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa selepas mendapat limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

"Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor. Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Onn Hafiz yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua hari ini berkata, beliau akan terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Johor.

Beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan yang diberikan untuk terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.

"Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

"Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini," katanya.

Beliau turut memohon doa daripada seluruh rakyat Johor agar diberikan kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, integriti serta memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

+ - reset