Berita Berita
Kerajaan cadang pampasan wajib kepada mangsa nahas akibat pemandu mabuk, dadah
PUTRAJAYA 17 Julai – Kerajaan bersetuju secara dasar mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya yang maut atau cedera akibat perbuatan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu dan kesalahan serius lain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mekanisme baharu itu telah dipersetujui Jemaah Menteri dan akan dilaksanakan menerusi pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menurutnya, ketika ini pesalah yang disabitkan kesalahan hanya dikenakan hukuman seperti penjara, denda atau hilang kelayakan memandu tanpa sebarang mekanisme yang membolehkan mangsa atau waris menerima pampasan.
“Apa yang kita mahu wujudkan ialah satu mekanisme baharu dalam perundangan negara di mana mahkamah juga boleh menganugerahkan pampasan kepada keluarga mangsa sekiranya pesalah didapati bersalah.
“Ini termasuk kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu dan sebagainya. Semua itu akan dirangkumi dalam cadangan yang sedang diperincikan kelak,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pindaan itu akan dirangka secara teliti kerana memberi kesan jangka panjang terhadap sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara.
Menurut Anthony, selepas proses libat urus selesai dan draf pindaan diluluskan Kabinet serta melalui bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat, beliau akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti rang undang-undang tersebut.
“Tujuannya supaya rang undang-undang ini mendapat sokongan merentasi parti dan semua pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran dapat memberikan pandangan serta syor penambahbaikan.
“Kita mahu menghasilkan satu kerangka perundangan yang jelas, boleh dilaksanakan dan berkesan dalam memberikan keadilan kepada mangsa serta meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan rang undang-undang itu dibentangkan pada persidangan Parlimen hujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2027, tertakluk kepada penyempurnaan proses libat urus dan penyediaan draf pindaan.
Anthony menjelaskan jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
Katanya, antara faktor yang akan dipertimbangkan ialah tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.
Beliau berkata, mekanisme pampasan itu juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Anthony berkata, Kabinet turut bersetuju secara dasar untuk memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) bagi mengenal pasti dan mengawal pemandu berisiko tinggi serta pesalah berulang.
Katanya, penambahbaikan itu merangkumi tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.
Berita berkaitan
July 25, 2026, 8:57 pm
Pelajar dibuli, 3 rakan sekolah disiasat
July 25, 2026, 8:43 pm
Keadaan Najib stabil, tidak perlu pasang 'stent'
July 25, 2026, 3:04 pm
Pengumuman berkaitan penganjuran F1 di Malaysia akan dibuat esok - PM
July 25, 2026, 9:40 am
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 9:11 am
Anwar seru masyarakat India Muslim terus jadi jambatan perpaduan negara
July 25, 2026, 8:39 am
Dua pelajar perempuan masih lengkap berpakaian 'PJ' ditemukan maut di flat kosong di Ipoh
July 25, 2026, 7:54 am
Sokong usaha MUKMIN, Anwar umum dana RM2 juta bantu pendidikan anak India Muslim
July 24, 2026, 10:51 pm
