TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

700 rakyat Malaysia dipercayai jadi mangsa eksploitasi sindiket di Taiwan, Shah Iskandar antara mangsa

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 17 Julai– Hampir 700 rakyat Malaysia didakwa menjadi mangsa eksploitasi sindiket jenayah di Taiwan, khususnya yang dikaitkan dengan human trafficking (pemerdagangan manusia) dan scam online. 

Pendedahan itu dibuat dalam satu sidang media melibatkan keluarga mangsa yang mendakwa corak kes berkenaan semakin membimbangkan, termasuk membabitkan rakyat Malaysia berbangsa Melayu yang sebelum ini tidak banyak dilaporkan. 

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim angka berkenaan diperoleh daripada pihak Wisma Putra. 

Angka berkenaan diperoleh daripada maklumat tidak rasmi yang diterima, dan pihak tersebut diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terlibat di Taiwan. 

"Sebelum ini negara seperti Kemboja, Laos dan Myanmar sering dikaitkan dengan isu eksploitasi sindiket, namun Taiwan kini turut dilihat sebagai destinasi yang perlu diberi perhatian susulan beberapa kes dengan corak hampir sama. 

"Kalau betullah angka 700 tu, kes ini sudah serius," katanya.

Antara kes yang diketengahkan ialah melibatkan Shah Iskandar, 20, yang kini berada dalam tahanan polis Taiwan selepas pergi ke negara itu atas urusan kerja sebagai pengawal peribadi atau bodyguard. 

Abangnya, Eddy berkata, Shah Iskandar berlepas ke Taiwan pada 3 Jun 2026 selepas menerima tawaran kerja untuk mengiringi majikannya ke negara tersebut.

Menurutnya, keluarga tidak mengesyaki perkara mencurigakan kerana pekerjaan itu selari dengan pengalaman adiknya yang sebelum ini pernah menjalankan tugasan sebagai pengawal pengiring ke beberapa negara lain. 

Katanya adiknya turut mempunyai lesen pengawal peribadi yang sah yang diperoleh di Indonesia.

Namun, selepas tiba di Taiwan, keluarga mula hilang hubungan dengan Shah Iskandar sebelum menerima maklumat bahawa dia ditahan pihak berkuasa tempatan. 

Eddy mendakwa adiknya hanya diminta mengeluarkan wang menggunakan satu daripada tiga kad bank yang diberikan majikannya, sebelum ditahan polis ketika berada di mesin ATM.

“Saya tak yakin dia buat benda salah sebab saya yakin dia dianiaya. Dia tak tahu siapa yang bagi kad itu, cuma bos yang bagi kad kepada dia untuk keluarkan duit,” katanya. 

Beliau berkata, menerusi perbualan bersama adiknya pada 15 Julai lalu, Shah Iskandar memaklumkan dia hanya mengeluarkan wang menggunakan satu kad, manakala dua kad lain didakwa dikeluarkan oleh pihak polis selepas meminta nombor PIN kad tersebut. 

Eddy turut memaklumkan adiknya telah dibawa ke mahkamah sebanyak dua kali dan memaksa Shah Iskandar membuat pengakuan salah selepas menerima arahan daripada pihak tertentu termasuk penterjemah serta peguam di Taiwan.

Bagaimanapun, menurut Eddy, hukuman terhadap adiknya masih belum dijatuhkan dan keluarga sedang mendapatkan bantuan bagi memastikan kes itu diberi perhatian sewajarnya. 

Beliau berkata, majikan yang membawa adiknya ke Taiwan masih belum dapat dikesan walaupun usaha mencari maklumat mengenai individu terbabit telah dilakukan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata kes Shah Iskandar menunjukkan corak baharu apabila sindiket dipercayai menggunakan tawaran pekerjaan sebagai pengawal pengiring untuk menarik mangsa ke Taiwan.

Menurutnya, tawaran kerja seperti itu boleh menyebabkan mangsa dan keluarga kurang berasa curiga berbanding tawaran kerja lain kerana ia kelihatan seperti pekerjaan biasa. 

Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu tersebut kepada Kedutaan Taiwan serta Wisma Putra bagi mendapatkan bantuan dan mencari penyelesaian terhadap kes melibatkan rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Dalam perkembangan sama, pihak MHO memaklumkan akan mengumpulkan semua keluarga mangsa yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket di Taiwan bagi mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Taiwan di Malaysia.

Menurut MHO, langkah itu bukan bertujuan mencampuri urusan perundangan Taiwan, sebaliknya sebagai rayuan atas dasar kemanusiaan supaya kerajaan Taiwan dapat meneliti kes-kes berkenaan dari sudut kemungkinan mangsa dieksploitasi oleh sindiket jenayah.

Antara perkara yang akan dibawa termasuk permohonan supaya faktor kemanusiaan dan status mangsa eksploitasi dipertimbangkan dalam proses perundangan, termasuk kemungkinan pengurangan hukuman atau tindakan lanjut terhadap kes yang mempunyai asas kukuh bahawa mangsa telah diperdaya sindiket.

+ - reset