TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu pengundi MCA undi PAS disifatkan naratif perkauman, tidak patut jadi bahan kempen PRN Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN, 21 Julai — Dakwaan bahawa pengundi kaum Cina yang memilih calon MCA mewakili Barisan Nasional (BN) seolah-olah memberikan undi kepada PAS disifatkan sebagai naratif berunsur perkauman yang tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, analogi sedemikian yang didakwa digunakan sepanjang tempoh berkempen bukan sahaja boleh mengelirukan, malah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengundi yang tidak mempunyai kefahaman menyeluruh berhubung situasi politik semasa.

Jelas beliau, persefahaman yang dicapai antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada asasnya bertujuan menyelaras perjalanan PRN di peringkat negeri semata-mata.

“Jika mereka benar-benar tidak bersifat perkauman, mereka tidak sepatutnya memainkan sentimen kaum seperti ini.

“Adakah manifesto BN menyatakan jika kita menang, kita akan menghapuskan kaum lain? Tidak. Jadi, jangan mainkan sentimen yang boleh memecahbelahkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Sembang Santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di Taman Ampangan Fasa 3, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan penyandang kerusi DUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Asyraf Wajdi menegaskan, BN telah membuktikan rekod pentadbiran yang merangkumi pelbagai parti perwakilan bagi semua kaum di Malaysia.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa hak setiap rakyat tetap terpelihara dan dilindungi tanpa mengira latar belakang keturunan, sepertimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mengasaskan Malaysia dengan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Bagaimana kita boleh berundur ke belakang dengan memainkan sentimen perkauman atau hanya memperjuangkan satu-satu kaum sahaja?

“Jangan kita biarkan perkara ini berterusan. Sepatutnya kita berkempen secara matang dan sihat tanpa perlu menyentuh isu-isu yang boleh menyinggung perasaan pihak lain,” ujarnya lagi.

+ - reset