TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh isu kebocoran data Khairul Aming

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi melibatkan pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming. Langkah itu diambil susulan kebimbangan wujudnya akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi tempatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa pihak kementerian memandang serius insiden berkenaan. Menurut beliau, aduan yang dikongsikan oleh Khairul Aming di platform Threads memberi gambaran bahawa terdapat pihak luar atau individu yang tidak sepatutnya telah diberi akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta inventori atau sistem milik telco terbabit.

“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming. Saya juga akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Isu ini timbul selepas Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman mempertikaikan bagaimana maklumat sulit berkaitan akaun serta bil telefon peribadinya boleh diakses dan mendedahkan tunggakan secara terbuka oleh akaun pihak ketiga. Pengguna berkenaan mendakwa akaun Khairul Aming mempunyai tunggakan sebanyak RM498 serta dikaitkan dengan beberapa pembelian perkhidmatan digital tambahan (add-on digital purchase).

Mengulas lanjut, Fahmi mengingatkan bahawa penyebaran sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti seseorang (personally identifiable information atau PII) tanpa kebenaran rasmi merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pengguna atau orang awam yang berdepan masalah atau insiden kebocoran data yang sama supaya segera membuat laporan rasmi kepada MCMC bagi membolehkan siasatan serta tindakan susulan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

+ - reset