TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Annuar Musa seru penyokong bantu kempen PN-BN di PRN Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Muafakat Nasional (MN) menyeru seluruh ahli, penyokong dan pendukungnya di seluruh negara supaya membantu gerak kerja kempen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh agenda penyatuan ummah.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sejak penubuhannya, Muafakat Nasional sentiasa menjadikan penyatuan ummah sebagai teras perjuangan dengan hasrat melihat parti-parti politik Melayu-Islam, khususnya PAS dan UMNO, kembali bekerjasama.

Menurut beliau, kerjasama itu penting bagi memperkukuh kestabilan politik, memperkasa umat Islam serta membina sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Annuar berkata, perkembangan kerjasama antara PN dan BN di Negeri Sembilan menunjukkan petanda positif ke arah penyatuan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin yang memainkan peranan dalam menjayakan persefahaman antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan umat Islam merupakan asas penting bagi menjamin kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran negara serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong Muafakat Nasional mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing bagi memohon keberkatan dan petunjuk Allah SWT agar usaha penyatuan ummah dipermudahkan.

Selain itu, beliau menggesa penyokong turun ke Negeri Sembilan mengikut kemampuan masing-masing untuk membantu kempen pilihan raya calon PN dan BN melalui sumbangan tenaga, kepakaran serta pengalaman.

Muafakat Nasional juga menyeru pengundi memberi sokongan kepada calon-calon PN dan BN sebagai manifestasi komitmen terhadap agenda penyatuan ummah, kestabilan politik serta masa depan negara.

Annuar berkata, Muafakat Nasional yakin semangat kerjasama dan permuafakatan yang berteraskan kepentingan agama, bangsa dan negara merupakan landasan terbaik bagi mewujudkan Malaysia yang lebih stabil, makmur dan sejahtera.

Beliau turut mendoakan agar segala usaha ke arah penyatuan ummah dipermudahkan serta mencapai kejayaan demi kesejahteraan rakyat.

+ - reset