TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Rawatan dah diberi, pesakit asma didakwa ‘lesap’ sebelum buat bayaran di klinik swasta

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

YONG PENG 23 Julai - Sebuah klinik swasta menjadi perhatian selepas mendakwa seorang pesakit yang datang mendapatkan rawatan kerana mengalami sesak nafas meninggalkan premis berkenaan tanpa membuat bayaran.

Menerusi hantaran yang tular di media sosial, pihak klinik memaklumkan pesakit terbabit datang dalam keadaan memerlukan rawatan nebulizer (neb) susulan masalah asma.

Menurut kronologi yang dikongsikan, pesakit berkenaan meminta untuk diberikan rawatan neb kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dibenarkan menerima rawatan.

Bagaimanapun, selepas selesai menjalani rawatan, pesakit terbabit dikatakan meminta untuk keluar sebentar dengan alasan tidak tahan dengan keadaan sejuk di dalam klinik.

Namun, pihak klinik mendakwa individu itu kemudiannya tidak kembali ke premis berkenaan untuk menjelaskan bayaran rawatan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik turut menunjukkan kelibat individu terbabit berada di kawasan kaunter dan pintu keluar klinik.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan isu pesakit meninggalkan klinik tanpa membuat bayaran.

Seorang pengguna, rachelbxnny, mendakwa terdapat klinik yang mengambil langkah pencegahan dengan menyimpan dokumen pengenalan pesakit ketika pendaftaran.

“Klinik tempat saya pula, kalau warganegara waktu daftar kita pegang IC. Kalau orang asing, kita tahan passport.

"Tiada passport atau IC kita direct tunjuk jalan keluar dan cari klinik lain yang nak terima,” katanya.

Sementara itu, pengguna thalita_rayhara berkongsi pengalaman ketika bekerja di sebuah klinik dengan menyatakan sistem deposit pernah digunakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Tempat saya kerja dulu banyak kes macam ni. Pengurusan ambil tindakan, setiap kali pendaftaran perlu deposit RM200. 

"Contoh lepas jumpa doktor ada tambahan ubat macam IV drip ke neb, kami akan minta pesakit bayar tambahan deposit,” tulisnya.

Turut mendapat perhatian, pengguna ainaaaaa_96 menyifatkan tindakan meninggalkan klinik tanpa membuat bayaran sebagai tidak wajar.

“Dah tahu tak ada duit nak juga masuk klinik swasta,” tulisnya.

Pihak klinik menerusi hantaran itu turut meminta orang ramai supaya berhati-hati dan membantu memberikan maklumat sekiranya mengenali individu berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada individu terbabit atau pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.

+ - reset