TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johor rayu KKM segera atasi kekurangan lebih 2,000 petugas kesihatan di hospital negeri

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 24 Julai - Kerajaan Negeri Johor memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi keutamaan segera terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di hospital-hospital negeri ini yang disifatkan berada pada tahap kritikal.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG) kini berdepan kekurangan lebih 2,000 jawatan, sekali gus meningkatkan beban tugas petugas kesihatan sehingga ada yang memilih meletakkan jawatan.

Menurut beliau, situasi itu amat membimbangkan, terutama di HSA yang merupakan antara hospital rujukan utama di Johor dan menerima ribuan pesakit setiap hari.

"Perkara yang benar-benar merisaukan saya ialah kekurangan petugas kesihatan di HSA. Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari.

"Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada KKM supaya isu kekurangan petugas di HSA diberikan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah semalam bagi meninjau sendiri keadaan semasa hospital dan mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, antara langkah segera yang akan dilaksanakan ialah proses decanting Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan elektrik dilakukan dengan selamat.

Selain itu, katanya, projek menaik taraf bekalan utama elektrik serta sistem elektrikal dan mekanikal HSA bernilai hampir RM159 juta turut sedang dilaksanakan bagi memastikan hospital berkenaan mampu terus menyediakan perkhidmatan yang selamat dan berkualiti kepada rakyat.

"Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memastikan segala usaha penambahbaikan berjalan lancar demi kesejahteraan Bangsa Johor dan mutu perkhidmatan kesihatan yang terbaik," katanya.

+ - reset