TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN N9: Ustaz Shahir janji hidupkan semula kiosk PBT, bantu anak muda miliki rumah di Paroi

By
|
Kongsi
image

PAROI, 24 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ustaz Shahir, tampil menggariskan tiga ikhtiar utama yang menjadi fokus kempennya bagi membantu menyelesaikan isu ekonomi, perumahan dan kemudahan komuniti di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, hasil turun padang bertemu penduduk di taman perumahan, premis perniagaan dan kawasan sekitar Paroi menunjukkan rakyat bukan sekadar mahu suara mereka didengari, sebaliknya mengharapkan penyelesaian yang mampu memberi impak kepada kehidupan seharian.

Beliau berkata, antara keutamaan yang akan diperjuangkan ialah menghidupkan semula kiosk milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kini didakwa banyak terbiar dan tidak dimanfaatkan.

"Usaha ini akan melibatkan penyediaan kemudahan WiFi percuma, sokongan pemasaran digital kepada peniaga serta penganjuran program komuniti bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ustaz Shahir turut memberi penekanan kepada isu pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda yang berdepan peningkatan kos sara hidup dan kadar sewa.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan diperjuangkan termasuk bantuan sewa rumah, bantuan deposit pembelian rumah serta penyediaan rumah transit bagi pasangan dan keluarga yang baru memulakan kehidupan.

"Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas untuk membina sebuah keluarga yang stabil," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan cadangan mewujudkan Hub Sukan Paroi menerusi usaha menaik taraf kemudahan sukan sedia ada agar dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia, ibu bapa dan warga emas.

Menurutnya, penyediaan ruang riadah yang lebih selesa dan selamat mampu melahirkan komuniti yang lebih sihat serta aktif.

Mengulas lanjut, Ustaz Shahir berkata beliau tidak mahu menawarkan janji semata-mata, sebaliknya mahu membawa ikhtiar yang boleh dilaksanakan sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi Paroi.

Beliau turut menyeru pengundi memberi peluang kepada golongan muda untuk berkhidmat dan membawa pendekatan baharu dalam membangunkan kawasan Paroi pada PRN kali ini.

+ - reset