Berita Berita
Trump umum tarif baharu, Malaysia antara negara dikenakan cukai import 10%
WASHINGTON 24 Julai - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif import baharu terhadap barangan dari 60 rakan dagang, termasuk Malaysia, atas alasan negara terbabit didakwa gagal menguatkuasakan larangan terhadap buruh paksa dalam rantaian bekalan masing-masing.
Di bawah langkah terbaharu itu, Malaysia disenaraikan antara negara yang dikenakan tarif 10 peratus, manakala beberapa negara lain berdepan kadar sehingga 12.5 peratus.
Tarif itu diumumkan sejurus tempoh pelaksanaan tarif sementara 10 peratus yang diperkenalkan sebelum ini tamat, sekali gus menjadi usaha terbaharu pentadbiran Trump menghidupkan semula dasar perdagangan berasaskan tarif global.
Menurut notis yang diterbitkan dalam Daftar Persekutuan, tarif baharu berkenaan akan meliputi 99.4 peratus daripada keseluruhan import AS, dengan beberapa pengecualian melibatkan minyak dan gas, baja, produk makanan tertentu serta barangan yang tertakluk kepada tarif keselamatan negara.
Langkah itu dilaksanakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, yang memberi kuasa kepada pentadbiran AS mengenakan tindakan perdagangan terhadap negara yang didakwa mengamalkan dasar tidak adil.
Tarif baharu dijangka lebih sukar dicabar di mahkamah berbanding tarif timbal balik yang diperkenalkan Trump sebelum ini, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif antara 10 hingga 50 peratus yang dikenakan menggunakan undang-undang darurat negara.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, tindakan itu bertujuan memastikan rakan dagang Washington mengambil langkah lebih tegas dalam membanteras penggunaan buruh paksa.
"Sudah hampir satu abad AS menguatkuasakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan menerusi buruh paksa. Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama," katanya.
Selain Malaysia, negara yang dikenakan tarif 10 peratus termasuk Argentina, Bangladesh, Britain, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Mexico, Pakistan, Sri Lanka serta Trinidad dan Tobago.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Switzerland dikenakan kadar yang menjadikan jumlah keseluruhan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus, manakala 38 negara lain, termasuk China, dikenakan tarif 12.5 peratus.
Pegawai pentadbiran Trump turut memaklumkan Washington bercadang menaikkan semula tarif terhadap barangan China kepada 20 peratus, selaras dengan persefahaman perdagangan yang dicapai antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, pada November 2025.
Langkah terbaharu itu bagaimanapun menerima bantahan daripada beberapa negara.
Norway menegaskan tiada asas untuk negara itu dikenakan tarif kerana sudah mempunyai undang-undang ketat bagi menghalang perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Australia dan Brazil turut menyifatkan tindakan Washington tidak wajar, manakala Kanada memilih pendekatan lebih berhati-hati dengan meneruskan rundingan bersama AS.
Pakar perdagangan berpandangan tarif di bawah Seksyen 301 memberi ruang lebih luas kepada pentadbiran AS untuk mengubah kadar cukai import, selain dijangka lebih kebal daripada cabaran undang-undang berbanding dasar tarif terdahulu.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 1:03 pm
Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
