TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Chong Zhemin kecam kenyataan Sanusi, tegas Malaysia juga tanah air kaum Cina dan India

By
|
Kongsi
image

 

KAMPAR 24 Julai - Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengecam kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa orang Cina mempunyai China, orang India mempunyai India, manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.

Chong menyifatkan kenyataan itu sebagai menghina jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang dilahirkan, dibesarkan serta membina kehidupan di negara ini.

Beliau menegaskan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India bukan warga China atau India, sebaliknya hanya mempunyai satu tanah air iaitu Malaysia.

"Kami hanya mempunyai satu tanah air, bernaung di bawah satu Jalur Gemilang dan mencurahkan kesetiaan kepada satu negara, iaitu Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, masyarakat pelbagai kaum telah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara sejak sebelum kemerdekaan melalui sumbangan kepada ekonomi, pembayaran cukai, khidmat kepada masyarakat dan pembangunan negara.

Sehubungan itu, katanya, tiada mana-mana pemimpin politik berhak mempersoalkan kesetiaan rakyat hanya berdasarkan kaum atau keturunan.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai cubaan membawa politik negara ke arah yang berbahaya dengan memainkan sentimen perkauman demi meraih sokongan politik.

"Malaysia bukan tempat persinggahan bagi rakyat bukan Melayu. Malaysia ialah rumah kita bersama.

"Hak dan nasib orang Melayu tidak akan terbela dengan menanam ketakutan dan kebencian terhadap kaum lain," katanya.

Chong mendakwa kenyataan berkenaan berpotensi menghasut permusuhan antara kaum serta mengancam keharmonian negara.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya terdapat unsur menghasut atau mencetuskan kebencian.

Selain itu, beliau turut menuntut kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya MCA dan MIC, menyatakan pendirian secara terbuka memandangkan kenyataan itu dibuat dalam ceramah kerjasama BN-PN.

"Adakah mereka bersetuju bahawa rakyat Cina dan India Malaysia patut dianggap mempunyai tanah air lain? Berdiam diri terhadap retorik sebegini hanya akan memberikan ruang kepada politik ekstrem untuk terus berkembang," katanya.

Beliau turut menggesa Sanusi menarik balik kenyataan berkenaan serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, Malaysia dibina hasil sumbangan semua kaum dan tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang boleh dianggap sebagai tetamu di tanah air sendiri.

"Negara ini milik orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, masyarakat Sabah dan Sarawak serta setiap warganegara Malaysia. Kita mungkin berbeza keturunan dan agama, tetapi kewarganegaraan serta kesetiaan kita adalah sama," katanya.

+ - reset