Berita Berita
'Malaysia bukan anti-Yahudi, tetapi menentang kezaliman Israel' – Anwar
PORT DICKSON 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah bersikap anti-Yahudi, sebaliknya pendirian negara adalah menentang kezaliman, penjajahan dan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata, dakwaan bahawa Malaysia memusuhi bangsa Yahudi adalah tidak berasas kerana dasar negara selama ini berpaksikan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.
"... masalahnya (bukan) kita menghina Yahudi, (sebaliknya) kita menentang kekejaman, kezaliman dan penjajahan Israel.
"Itu yang kita kena jelaskan. Mereka bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum. Kita bukan antikaum, kita antinegara yang zalim," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada dasar menyekat kemasukan warganegara Israel, meskipun berdepan tekanan daripada beberapa Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, pendirian itu dibuat berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat Palestin serta menolak pencerobohan dan kekejaman yang berterusan di Gaza.
Baru-baru ini, seorang warga AS diarahkan meninggalkan Malaysia selepas dikenal pasti turut memiliki kewarganegaraan Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini berkata, tindakan itu selaras dengan dasar imigresen Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel dan tidak menerima pasport yang dikeluarkan negara berkenaan.
Sebelum ini, lapan Ahli Kongres AS dilaporkan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Malaysia yang terus menyekat kemasukan warganegara Israel.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan pendirian tersebut selagi rakyat Palestin berdepan penindasan dan pencabulan hak asasi manusia.
Berita berkaitan
July 24, 2026, 8:50 pm
Banjir: RM44.5 juta diperuntukkan tangani 'hotspot' di PJ, Subang
July 24, 2026, 8:39 pm
Penyatuan mesti menyeluruh, hentikan politik kebencian dan perkauman - Anwar
July 24, 2026, 6:16 pm
Mindef perketat prosedur latihan grenad susulan insiden letupan Kem Hobart
July 24, 2026, 4:50 pm
Lelaki mengamuk di stesen minyak rupanya pemegang kad OKU, dalam rawatan psikiatri
July 24, 2026, 4:45 pm
Fenomena 'blue tears': APM tingkat pemantauan keselamatan di pantai Kuantan
July 24, 2026, 4:41 pm
Kapal tangki PETRONAS kedua lulus lalu Selat Hormuz tiba Melaka awal Ogos - PM
July 24, 2026, 4:29 pm
'F1 is back?' - KBS sahkan kemungkinan Sepang kembali jadi tuan rumah Formula 1
July 24, 2026, 4:21 pm
