TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Khairy: Jangan jadikan UMNO, BN 'kambing hitam' kegagalan tunaikan janji

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 24 Julai – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa pihak tertentu agar tidak menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai 'kambing hitam' atas kegagalan menunaikan janji-janji pilihan raya kepada rakyat.

Beliau mempersoalkan tindakan rakan kerjasama dalam kerajaan yang kerap meletakkan kesalahan kepada UMNO dan BN setiap kali berdepan dengan desakan atau kemarahan rakyat.

"Saya nampak setiap kali naik pentas, mereka salahkan BN, salahkan UMNO. Janji tidak ditunaikan pun salah UMNO, itu bukan pendirian yang boleh kita terima.

"Apabila tak dapat tunaikan dan bila orang marah dulu janji macam-macam... dia kata tak dapat tunaikan janji itu sebab ada UMNO dan BN dalam kerajaan. Adakah itu cara menghargai kawan?" katanya ketika berucap pada program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Lenggeng, di sini.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan bahawa BN kekal bersikap profesional dengan meneruskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara di tengah-tengah cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.

Menurut beliau, keanjalan politik hari ini membolehkan pendekatan berbeza diambil di peringkat negeri — termasuk menjalin persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan — tanpa menjejaskan pentadbiran di Putrajaya.

"Saya menghormati kematangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh terima pada peringkat Pusat, teruskan kerjasama demi kestabilan negara.

"Kita tinggal setahun saja lagi penggal, sudah tak lama. Jadi tak perlu kita tarik sokongan atau paksa adakan Pilihan Raya Umum (PRU) awal, kita kena matang dalam hal ini," katanya sambil menambah bahawa situasi di Negeri Sembilan merupakan bayangan awal terhadap perubahan yang boleh berlaku pada PRU akan datang.

+ - reset