TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya sudah duduk di Malaysia 43 tahun' - Lelaki Indonesia rogol anak sehingga beranak dihukum penjara 60 tahun, 60 sebatan mohon hukuman ringan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Julai - Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya sebanyak enam kali sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan.

Tertuduh berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pemandu dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun di sebuah unit kondominium di Taman Midah antara 2 Oktober 2021 hingga 30 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta maksimum 10 sebatan bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dirogol sebanyak enam kali oleh bapanya sendiri sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.

Laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kemudian mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi berkenaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh telah mengkhianati tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Beliau berkata, mangsa mengalami kemurungan yang serius akibat penderaan seksual berulang kali sehingga pernah mempunyai keinginan untuk menamatkan riwayat hidupnya.

"Bagaimanapun, niat itu tidak diteruskan kerana mangsa memikirkan nasib anaknya yang kini berusia empat tahun," katanya.

Pendakwaan turut memaklumkan bahawa tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan mencabul mangsa.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah menetap di Malaysia selama 43 tahun.

Namun, mahkamah memutuskan hukuman berat wajar dikenakan mengambil kira tahap keseriusan jenayah, pengkhianatan terhadap hubungan kekeluargaan serta kesan trauma yang dialami mangsa.

+ - reset