TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'F1 is back?' - KBS sahkan kemungkinan Sepang kembali jadi tuan rumah Formula 1

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sedang meneliti kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini, sekiranya diberi peluang menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementerian bersama kerajaan sudah menerima makluman awal berhubung cadangan itu, namun sebarang keputusan hanya akan diumumkan selepas semua aspek berkaitan dimuktamadkan.

"Perdana Menteri dan KBS telah menerima makluman awal mengenai kemungkinan penganjuran perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan GP Bahrain.

"Sehubungan itu, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan.

"KBS kekal komited dengan misinya untuk terus menyokong pembangunan sukan negara, termasuk sukan permotoran.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Malaysia muncul antara calon utama untuk menggantikan GP Bahrain berikutan ketidaktentuan jadual perlumbaan susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Litar Antarabangsa Sepang dilaporkan berada dalam senarai lokasi yang dipertimbangkan, dengan perlumbaan berpotensi diadakan di antara GP Azerbaijan di Baku pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.

Sebelum ini, GP Bahrain dan GP Arab Saudi di Jeddah yang dijadualkan berlangsung pada April lalu terpaksa ditangguhkan susulan situasi keselamatan di rantau berkenaan.

Bagaimanapun, usaha menjadualkan semula perlumbaan di Bahrain terus berdepan cabaran berikutan konflik yang masih belum reda.

Sekiranya cadangan itu menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan Formula 1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang selepas kali terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada 2017, sekali gus menghidupkan semula salah satu acara sukan permotoran terbesar yang pernah menjadi kebanggaan negara.

+ - reset