TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua remaja perempuan maut, kereta hilang kawalan ketika memotong di Teluk Intan

By
|
Kongsi
image

IPOH 27 Julai – Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, kedua-dua mangsa yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

"Kereta berkenaan kemudian menceroboh laluan sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa, sebuah kenderaan lain di hadapan, serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

"Pemandu kereta terbabit dan kanak-kanak berkenaan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi menerima rawatan. Pemandu terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset