TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ini IC saya Sanusi! Saya bukan pendatang!' - Nga Kor Ming

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 27 Julai - Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menegaskan tiada mana-mana kaum di negara ini wajar dilabel sebagai pendatang kerana semua individu yang memiliki kewarganegaraan Malaysia adalah Anak Malaysia dan berhak mendapat pengiktirafan yang sama sebagai rakyat negara ini.

Ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengangkat kad pengenalannya sebagai simbol bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mempunyai hak yang sama sebagai warganegara.

“Ini kad pengenalan saya. Saya bukan pendatang. Kita semua adalah Anak Malaysia,” katanya ketika berkempen di Seremban.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, keluarganya telah menetap di Malaysia sejak lebih empat generasi, sama seperti jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang dilahirkan, membesar serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut beliau, sejarah membuktikan masyarakat Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum lain telah berganding bahu membina negara sehingga Malaysia mencapai kemajuan yang dinikmati hari ini.

“Tiada mana-mana komuniti sepatutnya dianggap sebagai pendatang kerana setiap kaum memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan pembinaan negara bangsa.

“Kita bukan pendatang. Kita adalah antara mereka yang membantu membina negara ini. Orang Melayu, Cina dan India telah berganding bahu membina Malaysia seperti yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Nga berkata, semua rakyat Malaysia berkongsi tanah air yang sama dan perlu terus mempertahankan semangat perpaduan serta saling menghormati tanpa mengira kaum atau agama.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha memainkan sentimen perkauman hanya akan menjejaskan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara sejak mencapai kemerdekaan.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada polemik yang tercetus susulan ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan masyarakat Cina dan India dengan negara asal nenek moyang mereka ketika berkempen baru-baru ini.

Isu itu turut mendapat perhatian Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan masyarakat Cina dan India di Malaysia merupakan rakyat negara ini yang lahir, membesar serta menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa ucapannya telah dipetik di luar konteks dan dimanipulasi, selain menegaskan beliau tidak pernah merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan warganegara Malaysia.

Mengulas lanjut, Nga berkata ketika rakyat sedang berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, pemimpin politik seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan negara, bukannya membangkitkan naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat mengikut garis perkauman.

“Malaysia adalah tanah air kita bersama. Kita semua adalah Anak Malaysia,” katanya.

+ - reset