TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia maut ditikam akibat perselisihan 2 kumpulan di Korea

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 JULAI — Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, awal pagi Ahad.

Mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Shah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di sebuah jalan di Daeso-eup kira-kira jam 3 pagi, selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam menggunakan sebilah pisau. 

Dalam kejadian itu, 10 individu daripada dua kumpulan berbeza dilapor berbalas serangan sebelum suspek bertindak mengeluarkan senjata tajam.

Menurut laporan Korea JoongAng Daily, susulan insiden berkenaan, pihak Balai Polis Eumseong berjaya menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an di sebuah kediaman berhampiran, kira-kira sejam selepas kejadian. 
Suspek yang sempat melarikan diri kini disyaki terlibat dalam kes pembunuhan serta beberapa kesalahan lain.

Selain mangsa yang meninggal dunia, seorang lagi individu dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. 

Pihak berkuasa tempatan kini sedang menjalankan siasatan terperinci serta mengambil keterangan daripada suspek dan saksi lain bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan berkenaan.

Dalam pada itu, jenazah mangsa kini dalam proses untuk dibawa pulang ke tanah air selepas selesai menjalani prosedur bedah siasat. 

Menurut adik mangsa, Ain Sephia, 25, pihak keluarga telah menyerahkan semua dokumen diperlukan dan kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak Kedutaan Malaysia di Korea Selatan bagi menyempurnakan urusan dokumentasi sebelum jenazah dibenarkan berlepas pulang.

+ - reset