TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan kaji tambah baik proses kenaikan pangkat pegawai kanan ATM

By
|
Kongsi
image

TAMPIN, 27 Julai — Kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk menambah baik proses kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar sejajar dengan perkhidmatan awam lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut perlu diberi perhatian memandangkan proses kenaikan pangkat dalam kalangan pegawai kanan pasukan keselamatan itu kadangkala mengambil masa lebih lama berbanding penjawat awam di kementerian atau jabatan lain.

"Dalam kalangan pegawai tinggi, kadang-kadang kenaikan pangkat mereka lambat bila dibandingkan dengan penjawat awam lain. Jadi saya telah minta KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) untuk semak semula perkara ini.

"Ia tidak melibatkan jumlah yang terlalu besar, namun kita akan lihat dari sudut peruntukan kewangan. Dalam masa terdekat, kita akan putuskan supaya angkatan bersenjata kita tidak rasa terpinggir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman; dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar menambah, perkara berkenaan sudah dibincangkan dan bakal dimuktamadkan dalam satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh beliau tidak lama lagi.

+ - reset