Berita Berita
'Sudah 14 tahun tinggal di Penaga, tak tahu kenapa tiba-tiba kena halau' - Ratusan etnik Rohingya dipindah ke IPK KL
KUALA LUMPUR 28 Julai - Ratusan pelarian Rohingya berkumpul dan mendirikan khemah di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, di sini, hari ini selepas mendakwa diusir keluar dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
Difahamkan, kumpulan warga asing itu tiba di ibu negara pada awal pagi menaiki tiga bas yang disewa sendiri selepas meninggalkan penempatan mereka di Penaga kerana bimbang terhadap keselamatan.
Tinjauan di lokasi mendapati beberapa khemah didirikan di hadapan pejabat UNHCR, manakala kanak-kanak dilihat bermain di sekitar kawasan berkenaan.
Anggota polis turut ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan dan memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Seorang pelarian Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Rizuan, 28, berkata, mereka mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang selepas didakwa diberi tempoh singkat untuk mengosongkan kawasan penempatan.
Katanya, mereka terpaksa meninggalkan kebanyakan barangan kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk berpindah.
"Saya sudah tinggal di sana 14 tahun. Sebelum ini tiada masalah. Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba kami diminta keluar. Mungkin kerana perbuatan segelintir individu, semua kami menerima kesannya," katanya ketika memetik laporan Harian Metro.
Rizuan berkata, beliau bersama keluarga kini menunggu bantuan daripada UNHCR kerana tidak mempunyai tempat tinggal baharu, selain isterinya yang sedang hamil memerlukan penempatan yang lebih selamat.
Seorang lagi pelarian, Ahmad yang berusia lingkungan 40-an, turut mendakwa tidak mengetahui punca mereka diarahkan meninggalkan kawasan berkenaan selepas bertahun-tahun menetap di situ.
"Kami tidak mahu cari masalah. Bila diminta pindah, kami terus naik bas dan keluar malam tadi," katanya.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan beberapa bas dipercayai membawa pelarian Rohingya keluar dari sebuah penempatan di Penaga, Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kehadiran anggota polis di lokasi hanyalah bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak UNHCR atau pihak berkuasa berhubung dakwaan pengusiran yang dibangkitkan oleh kumpulan pelarian berkenaan.
Berita berkaitan
July 27, 2026, 7:48 pm
Sanusi tegaskan ucapan di Jempol rujuk fakta sejarah, bukan nafikan kerakyatan
July 27, 2026, 7:16 pm
Pelarian Rohingya berkumpul depan pejabat UNHCR, tindakan tegas akan diambil
July 27, 2026, 3:59 pm
Kerajaan kaji tambah baik proses kenaikan pangkat pegawai kanan ATM
July 27, 2026, 3:16 pm
Orang lain anjur ratusan juta, kita cuma belanja RM16 juta perbaiki trek F1 Sepang - PM
July 27, 2026, 3:02 pm
Salah urus dan campur tangan politik punca Felda rugi RM10 bilion
July 27, 2026, 2:58 pm
Enam lelaki mengaku tidak bersalah culik ahli perniagaan, minta tebusan RM8 juta
July 27, 2026, 1:23 pm
Guan Eng jumpa Anwar cadang satu peperiksaan kemasukan universiti awam untuk semua pelajar
July 27, 2026, 12:07 pm
