Berita Berita
PPR Seri Pantai dinaik taraf RM2.5 juta, 29 keluarga terima tawaran rumah PPR
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 28 Julai — Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai bakal menikmati kemudahan lebih selesa selepas kerja-kerja naik taraf bernilai RM2.58 juta telah disiapkan menerusi pakej penambahbaikan PPR di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penambahbaikan itu sebahagian daripada peruntukan RM300 juta yang disediakan untuk menaik taraf semua PPR di Kuala Lumpur secara berperingkat.
Menurut beliau, kerja naik taraf di PPR Seri Pantai melibatkan beberapa kemudahan asas termasuk turapan jalan, taman permainan kanak-kanak, bahagian dalaman lif, sistem pencegahan kebakaran, sistem pam air serta pencahayaan kawasan perumahan.
“Jumlah besar untuk PPR Seri Pantai adalah RM2.587 juta. Ini adalah untuk memastikan keselesaan penduduk di sini dan memastikan keperluan asas kehidupan harian mereka dijaga dengan baik,” katanya ketika sidang media semasa lawatan rasmi ke PPR Seri Pantai hari ini.
Daripada jumlah itu, kerja turapan jalan melibatkan kos RM421,000, naik taraf taman permainan kanak-kanak RM25,000, bahagian dalaman lif RM1.5 juta, sistem pencegahan kebakaran RM20,000, sistem pam air RM220,000 dan sistem pencahayaan RM300,000.
Dalam lawatan sama, seramai 29 penerima turut menerima tawaran rumah PPR, membabitkan 15 penduduk Melayu dan 14 penduduk India.
Selain itu, surat tawaran lesen perniagaan turut diserahkan kepada 40 penerima bagi mengisi lot perniagaan kosong yang disediakan.
Hannah berkata, usaha itu menunjukkan kerajaan memberi perhatian kepada isu kemiskinan bandar tanpa mengira latar belakang kaum.
Beliau berkata, pelaksanaan naik taraf PPR dibuat berdasarkan keperluan setiap kawasan dan bukan mengikut lokasi tertentu sahaja.
Katanya, kerajaan turut memastikan pecahan perbelanjaan projek dapat dilihat oleh penduduk supaya mereka mengetahui penggunaan peruntukan yang disediakan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata PPR Seri Pantai merupakan antara 25 lokasi daripada keseluruhan 64 PPR dan Perumahan Awam (PA) yang telah dilaksanakan kerja penambahbaikan.
Beliau berkata, semua 64 PPR dan PA di Kuala Lumpur dirancang untuk dinaik taraf secara berperingkat sehingga hujung tahun, terutama melibatkan kemudahan seperti jalan, sistem kebakaran, lif dan pencahayaan kawasan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan senarai menunggu rumah PPR DBKL masih panjang dengan kira-kira 3,000 permohonan direkodkan.
Katanya, pemilihan penerima dibuat berdasarkan permohonan yang diterima serta kriteria ditetapkan DBKL, dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Hannah Yeoh berkata, kemudahan PPR turut digunakan untuk membantu kumpulan tertentu seperti anggota polis dan bomba yang ditempatkan dalam komuniti untuk saling membantu.
Menurutnya lagi, terdapat juga unit rumah tertentu yang disediakan bagi kes kecemasan seperti mangsa kebakaran atau keluarga yang menghadapi tragedi.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 1:03 pm
Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
