TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat MP Jempol Shamsulkahar berhubung ucapan kempen PRN

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN, 29 Julai — Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berhubung ucapannya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Jempol, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan dimulakan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 55 tahun di Seremban pada 26 Julai lalu selepas melihat satu hantaran video ucapan pemimpin UMNO berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan itu dijalankan berikutan dakwaan menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya di media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, DAP melaporkan Shamsulkahar kepada polis atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor semasa berkempen.

Dalam pada itu, Alzafny memaklumkan sebanyak 62 laporan polis diterima dan 19 kertas siasatan dibuka berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh 18 hingga 28 Julai lalu.

Beliau menegaskan pihak polis akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang sepanjang PRN Negeri Sembilan.

+ - reset