TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TRC Synergy mohon maaf insiden tumpahan konkrit berhampiran LRT Ara Damansara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Pihak pengurusan TRC Synergy Berhad memohon maaf berikutan kejadian tumpahan konkrit dari tapak pembinaan Blok 6 berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu mengesahkan insiden berlaku kira-kira jam 6.10 petang sewaktu kerja-kerja pengkonkritan dijalankan.

Kejadian berpunca daripada sebuah baldi membawa konkrit basah yang tersentuh tepi pelantar, menyebabkan kedudukannya senget lalu mengakibatkan simen tertumpah ke atas bumbung laluan pejalan kaki serta jalan akses utama.

"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan pekerja mahupun orang awam. Bagaimanapun, beberapa motosikal yang diletakkan di tepi jalan berhampiran terjejas akibat percikan air simen basah.

"Pasukan keselamatan kami sudah berhubung secara langsung dengan pemilik motosikal terjejas bagi merekodkan kerosakan serta menguruskan kerja pembersihan dan pembaikan," katanya.

TRC Synergy Berhad turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan di Blok 6 kini digantung sementara bagi membolehkan pemeriksaan peralatan serta semakan menyeluruh ke atas prosedur keselamatan dilaksanakan.

Syarikat itu menegaskan mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden berkenaan dan memohon maaf secara ikhlas di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh orang awam.

Terdahulu, insiden itu tular di platform Threads selepas seorang pengguna memuat naik perkongsian mengenai motosikalnya yang terkena percikan simen basah dari projek berkenaan.

+ - reset