TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TDM nafi abaikan kebajikan anggota komando lumpuh, tindakan undang-undang sudah diambil

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan kebajikan anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib sentiasa menjadi keutamaan, selain tindakan perundangan serta-merta sudah diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

Menolak dakwaan kononnya TDM mengabaikan kebajikan anggota berkenaan, Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat memaklumkan siasatan dalaman berhubung insiden kecederaan serius yang dialami Abdul Hamid pada 11 Mac lalu telah pun selesai dilaksanakan.

"Tindakan sewajarnya sudah diambil terhadap pelaku mengikut peruntukan yang berkuat kuasa dan proses pemberhentian perkhidmatan sedang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid sebelum ini mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada keempat-empat anggota badan ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor. Kecederaan itu didakwa berpunca daripada tindakan hukuman di kem berkenaan.

Menurut TDM, pelbagai usaha perubatan terbaik dan bantuan kebajikan dilaksanakan secara berterusan sejak insiden berlaku, merangkumi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pihak TDM turut membuat persediaan rapi bagi penjagaan rumah selepas anggota berkenaan discaj kelak dan menyeru semua pihak agar tidak membuat andaian yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan gesaan keluarga mangsa menerusi Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya yang meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan serta jaminan penjagaan perubatan jangka panjang buat anggota berusia 25 tahun itu.

+ - reset