Berita Berita
RCI: Bonus kakitangan TH cecah hingga 13 bulan ketika kedudukan kewangan tidak stabil
KUALA LUMPUR 30 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyifatkan pemberian bonus yang tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh 2014 hingga 2017 sebagai tidak wajar berikutan kedudukan kewangan institusi itu ketika nilai asetnya lebih rendah daripada liabiliti.
Dalam laporan RCI yang didedahkan hari ini, suruhanjaya itu memaklumkan penyata kewangan tahunan TH bagi tempoh berkenaan yang turut diakui Jabatan Audit Negara (JAN) menunjukkan aset TH berada di bawah paras liabilitinya.
Menurut RCI, keadaan itu sepatutnya tidak membolehkan pembayaran bonus dalam jumlah yang besar kepada kakitangan.
"Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan yang dihadapi TH bermula 2014 hingga 2017, yang mana nilai aset adalah lebih rendah daripada liabiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh JAN, pemberian bonus dengan jumlah yang tinggi oleh TH adalah tidak wajar," menurut laporan itu.
RCI turut mendedahkan pemberian bonus tinggi itu dibuat susulan penilaian aset menggunakan kaedah Realisable Asset Value (RAV), yang menggambarkan TH mencatat keuntungan besar sepanjang tempoh berkenaan.
Semakan suruhanjaya mendapati kadar bonus yang dibayar kepada kakitangan TH antara 2010 hingga 2017 adalah antara dua hingga 13 bulan gaji, merangkumi bonus tahunan serta bonus khas.
Bagi tahun 2014, cadangan pembayaran bonus melibatkan bonus tahunan antara satu hingga 11 bulan gaji, selain bonus khas dua bulan gaji, menjadikan keseluruhan bayaran mencecah 13 bulan gaji dengan implikasi kewangan sebanyak RM74 juta.
Menurut laporan itu, justifikasi pembayaran bonus luar biasa tersebut adalah berdasarkan keuntungan besar yang direkodkan TH, dengan kadar bonus dicadangkan antara 1.7 hingga 2.5 peratus daripada keuntungan semasa.
RCI menjelaskan proses kelulusan bonus melibatkan tiga peringkat iaitu Lembaga Pengarah TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Bagaimanapun, suruhanjaya mendapati kedua-dua kementerian itu lazimnya hanya menerima syor yang dikemukakan oleh pengurusan TH dan Lembaga Pengarahnya.
Menurut penjelasan MOF kepada RCI, sebarang kelulusan pembayaran bonus melebihi dua bulan gaji adalah tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Menteri Kewangan dengan mengambil kira prestasi kewangan TH, aktiviti operasi, prestasi pelaburan, produktiviti kakitangan serta implikasi kewangan pembayaran bonus, selain mengambil kira perakuan Lembaga Pengarah dan Menteri Hal Ehwal Agama.
RCI bagaimanapun mengambil maklum bahawa bermula tahun kewangan 2018, pemberian bonus kepada kakitangan TH telah dikawal selaras dengan kemampuan kewangan institusi berkenaan.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 1:03 pm
Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
