Berita Berita
Kekalahan PH di Negeri Sembilan boleh jejas kedudukan Kerajaan Perpaduan - Anthony Loke
KUALA LUMPUR 30 Julai – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini, berpotensi memberi implikasi besar terhadap kelangsungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Beliau berkata, walaupun pemimpin Barisan Nasional (BN) berulang kali memberi jaminan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan sehingga tamat penggal pada awal 2028, landskap politik negara sentiasa berubah dan sebarang kemungkinan tidak boleh diketepikan.
Menurutnya, PH kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk meraih kemenangan dalam PRN Negeri Sembilan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta kestabilan politik.
"Landskap politik sentiasa berubah. Ahli politik tertentu akan bertindak apabila melihat peluang. Jadi, ini sesuatu yang semestinya kami sedia maklum," katanya dalam temu bual bersama The Edge.
Loke berkata, kekuatan sesebuah parti politik akhirnya bergantung kepada sokongan rakyat, justeru PH perlu memperoleh mandat yang kukuh daripada pengundi.
"Ahli politik hanya faham bahasa kekuatan. Jika tiada sokongan pengundi dan kekuatan politik, sudah tentu kedudukan kita seolah-olah di hujung tanduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa prestasi cemerlang BN di Negeri Sembilan boleh mencetuskan langkah undi tidak percaya terhadap Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 apabila tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
PH yang memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak kemudiannya membentuk kerajaan bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.
Mengulas kemungkinan pembentukan kerajaan negeri sekiranya PH gagal memperoleh kerusi mencukupi pada PRN Negeri Sembilan, Loke tidak menolak peluang untuk mengadakan rundingan dengan gabungan lain selepas pilihan raya.
"Masih terlalu awal untuk memperkatakan perkara itu kerana tiada gabungan atau parti yang akan menolak sebarang kemungkinan dalam senario politik Malaysia ketika ini.
"Setiap parti mahu menang secara bersendirian. Tetapi jika kerusi tidak mencukupi, selepas pilihan raya kita perlu duduk berunding. Saya rasa itu menjadi ciri kekal politik Malaysia selepas PRU15," katanya.
Dalam pada itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengakui kerjasama antara PH dan BN dalam Kerajaan Perpaduan masih mempunyai cabaran meskipun kedua-dua gabungan berkongsi kuasa di peringkat Persekutuan.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin UMNO dalam Jemaah Menteri, beliau berseloroh bahawa hubungan mereka berjalan baik ketika mesyuarat Kabinet.
"Pada Rabu, kami berbaik-baik," katanya.
Beliau menegaskan semua anggota Jemaah Menteri perlu mengetepikan perbezaan politik demi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
"Pada peringkat Jemaah Menteri, kita masih perlu berbaik-baik. Kita semua harus sedar bahawa kita sedang mentadbir kerajaan dan memikul tanggungjawab untuk menguruskan negara," katanya.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 1:03 pm
Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
