Berita Berita
'Saya hanya manusia biasa' - Anwar mohon maaf pernah sebut 'kuil haram', akan uruskan sendiri hal ehwal kaum India
SEREMBAN 30 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu sokongan masyarakat India pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan mengakui kesilapannya menggunakan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat India yang dihadiri lebih 1,000 orang di sini malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata beliau telah memohon maaf atas penggunaan istilah tersebut dan mengakui ia merupakan satu kesilapan.
Anwar turut menegaskan bahawa sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, tiada kuil lama dirobohkan oleh kerajaan.
"Sejak saya menjadi Perdana Menteri, satu kuil lama pun tidak pernah saya robohkan.
"Kalau saya salah cakap mengenai 'kuil haram', saya sudah minta maaf. Itu adalah istilah teknikal yang saya gunakan secara silap.
"Perdana Menteri bukan manusia yang sempurna. Saya juga manusia biasa. Kadang-kadang saya menggunakan istilah yang tidak tepat tanpa niat sedemikian," katanya.
Tahun lalu, Anwar menerima kritikan selepas dilaporkan menggunakan istilah "kuil haram" ketika mengulas kontroversi membabitkan sebuah kuil Hindu yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Beliau turut dikecam susulan kenyataannya ketika majlis pecah tanah sebuah masjid di lokasi sama apabila menyifatkan projek berkenaan sebagai satu "kemenangan".
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan beliau akan mengambil alih penyelarasan hal ehwal masyarakat India bagi menunjukkan komitmen kerajaan terhadap isu yang membabitkan komuniti itu.
Menurutnya, Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan akan terus membantu melaksanakan pelbagai inisiatif, namun beliau sendiri akan memantau dan menyelia agenda berkaitan masyarakat India.
"Untuk menunjukkan saya serius mengenai isu masyarakat India, saya telah menugaskan Ramanan membantu, tetapi mulai sekarang bukan sahaja MITRA, malah semua isu berkaitan masyarakat India akan saya ambil alih," katanya.
Beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah penyaluran bantuan menerusi agensi kerajaan seperti TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain mempercepatkan urusan permohonan kewarganegaraan.
Dalam ucapannya, Presiden PKR itu turut menggesa pengundi supaya menolak politik perkauman yang didakwa dimainkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen menjelang PRN Negeri Sembilan.
Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 1:03 pm
Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
